Home Ekonomi Perkeso wujud pelan pelaburan raih pulangan tinggi

Perkeso wujud pelan pelaburan raih pulangan tinggi

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mewujudkan Pelan Induk Pelaburan Strategik selama lima tahun membabitkan semakan dasar, strategi portfolio dan pengurusan serta semua kelas aset dan pembolehubah.

Pelan berkenaan menggariskan pelaksanaan strategi bagi setiap kelas aset dan peluang pelaburan dalam usaha meraih pulangan jangka panjang lebih tinggi iaitu antara 5.0 hingga 6.0 peratus setahun bagi tempoh lima tahun sehingga 2022.

Perkeso turut mengkaji semula Dasar dan Garis Panduan Pelaburan serta Pernyataan Dasar sebagai panduan kepada Bahagian Pelaburan untuk melaksanakan sasaran pihak berkepentingannya menerusi amalan pasaran terbaik dalam strategi pelaburan serta mematuhi pelaburan yang baik.

Strategi pelaburan itu turut menumpukan aspek pemeliharaan modal, pulangan tinggi dalam spektrum pulangan risiko, pulangan jangka panjang dan mampan, pelaburan beretika, amalan tadbir urus korporat yang tinggi serta menjadi pusat kecemerlangan pelaburan dan pempelbagaian.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pegawai Pelaburan Perkeso, Dr Suzana Idayu Wati Osman turut berkongsi aspirasi Perkeso untuk mencapai kecemerlangan dan prestasi pelaburan yang konsisten sebagaimana tanggungjawabnya terhadap pihak berkepentingan, strategi pelaburan dinamik dalam parameter risiko yang jelas serta mematuhi tadbir urus korporat tinggi.

Menurutnya, daripada jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM25.8 bilion (setakat 30 Jun, 2017), Perkeso setakat ini melaburkan sehingga 20 peratus dalam ekuiti, 77 peratus dalam pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang manakala 3.0 peratus dalam hartanah.

“Satu strategi ekuiti yang jelas diwujudkan dengan membabitkan strategi pelaburan secara menyeluruh. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pelaburan ekuiti kepada 28 peratus menjelang 2020.

“Sasaran pulangan dalam pelaburan ekuiti adalah dipacu oleh pasaran dengan hasil diraih daripada strategi pengurusan dan portfolio yang aktif. Sasaran akhirnya kelak adalah untuk memenuhi unjuran pulangan dan mengatasi penanda aras,” katanya.

Suzana berkata, Perkeso juga dalam usaha menambah baik strategi pendapatan tetap dan pasaran wang agar seiringan dengan amalan terbaik di peringkat global.

Sejajar dengan keutamaan strategiknya terhadap usaha pemeliharaan modal, Perkeso menyasarkan perkadaran instrumen pendapatan tetap yang lebih tinggi iaitu 60 peratus daripada AUM.

“Ia menumpukan pelaburan gred tinggi dengan penarafan kredit yang kukuh,” katanya.

Menyentuh aspek pelaburan hartanah, Suzana berkata keutamaan strategik Perkeso adalah pemeliharaan modal, pulangan modal yang tinggi serta mampan dan potensi keuntungan.

Menurutnya, pada tahun lepas Perkeso membeli Menara NU2 di KL Sentral di ibu negara yang setakat ini didiami secara penuh dengan kadar pulangannya mencecah 6.0 peratus setahun.

“Perkeso menyasarkan pulangan hartanahnya mencecah 5.0 peratus daripada AUM menjelang 2020,” katanya.

Suzana berkata Perkeso juga memulakan usaha bagi kelas aset baharu iaitu pelaburan ekuiti persendirian dengan sasaran sehingga 2.0 peratus daripada AUM menjelang 2020.

“Objektif utamanya adalah menghasilkan pulangan tinggi dan mampan serta menjana potensi pertumbuhan,” katanya.

Bagi pelaburan asing, beliau berkata ia merangkumi kira-kira 4.0 peratus daripada AUM dan sasaran pelaburan asing dalam pendapatan tetap serta ekuiti pula adalah 10 peratus daripada AUM menjelang 2020.

“Pelaburan asing ini memaparkan aspirasi PERKESO untuk memulakan pengurusan pelaburan global secara aktif bagi tujuan strategi kebolehlihatan dan pempelbagaian global.

“Secara keseluruhannya, strategi peruntukan aset itu akan menjurus kepada peningkatan kemampanan dengan bersandarkan kepada Peruntukan Aset Strategik yang didorong oleh pasaran,” katanya.

Pada masa sama, Suzana berkata nilai etika yang mantap turut diterapkan dalam kalangan pekerja Perkeso, khususnya tenaga kerja pelaburan.

Usaha itu turut disokong oleh inisiatif korporat seperti mengambil bahagian dalam ikrar integriti tahunan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selain menguatkuasakan ‘Dasar Tiada Hadiah’ sejak Disember 2015.

Antara inisiatif bagi mencapai aspek tadbir urus baik turut menyaksikan Perkeso menjadi penandatanganan Kod Pelabur-Pelabur Institusi Malaysia pada 31 Julai, 2017.

Kod berkenaan menggariskan panduan terhadap pelaksanaan berkesan pengendalian tanggungjawab ke arah mencapai kemampanan nilai jangka panjang kepada penerima manfaat itu. – MalaysiaGazette