Home Sukan Kalau anak jantan, lawanlah pasukan Johor

Kalau anak jantan, lawanlah pasukan Johor

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mencabar skuad polo Sukan SEA menentang Kelab Polo Diraja Johor dalam usaha menghentikan spekulasi berhubung isu membabitkan sukan itu.

Baginda dalam kenyataan melalui laman Facebook Johor Southern Tigers berkata, kalau anak jantan, lawanlah dengan pasukan Johor.

Menurut baginda, pasukan polo yang bertanding dalam temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) hanyalah sekadar mencukupkan syarat sahaja.

“Ada yang datang dengan handicap rendah, jadi memanglah mudah untuk dikalahkan.”

“Saya cabar pasukan polo Sukan SEA supaya datang ke negeri Johor dan tunjukkan taring mereka yang saya dengar handal sangat.”

“Hari ini lawan Singapura. Bila pasukan sudah menang baru masuk bermain dan suruh budak yang sedang ‘perform’ berpura-pura mengalami kecederaan. Jadi ada gambar beliau dapat masuk dalam pasukan untuk dipaparkan dalam media cetak dan melakukan propaganda menipu orang ramai seolah-olah dia yang menang dan handal,” tulis bagainda.

Sultan Ibrahim dalam kenyataan itu turut menjemput Menteri Belia dan Sukan untuk datang dan tidak menghampakan kehendak rakyat untuk melihat pasukan Khairy Jamaludin mengalahkan pasukan Johor.

“Kalau jantan, mari kita main dan tunjukkan taring masing-masing di Johor. Saya akan hantar dua anakanda saya dan dua orang penjaga kuda ataupun saya sekali kerana saya melihat diri saya masih handal lagi. Kalau pasukan saya kalah, saya akan akui bahawa pasukan Sukan SEA itu lagi baik dan semuanya handal-handal belaka,” jelas baginda.

Menurut Sultan Ibrahim, sukan Polo di Johor sudah bermula sejak tahun 1884 lagi, bukannya semalam baru beranak.

“Semasa saya menjadi Tunku Mahkota, saya sudah bermain di serata dunia termasuk Piala Dunia untuk sukan tersebut. Kalau hendak dibandingkan dengan Sukan SEA, ia bukan tandingannya. Jikalau anda mahukan perlawanan yang lebih serius, datang ke negeri Johor.”

“Saya mempersilakan kepada semua rakyat Malaysia untuk turut sama hadir menyaksikan serta menikmati perlawanan antara pasukan Sukan SEA dan pasukan Johor,” kata baginda di akhir tulisan. – MalaysiaGazette