KUALA LUMPUR – Skuad gimnastik negara menamatkan aksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) semalam dengan kejayaan yang cukup luar biasa dan menakjubkan.
Skuad itu berjaya memenangi lima pingat emas mengatasi pencapaian tiga pingat emas di Singapura dua tahun lalu.
Lebih manis, pasukan gimnas lelaki meraih pingat perak dalam acara gimnastik artistik berpasukan lelaki selepas kali terakhir menang pingat adalah semasa Sukan SEA Manila 2005.
Turut membangggakan, mereka turut meraih emas dalam acara kekuda pelana mengatasi pencapaian di Singapura dengan satu pingat perak sahaja.
Namun di sebalik kejayaan membanggakan itu, ada hati yang memendam perasaaan. Terkilan, kecewa dan gembira itulah gelojak di dalam jiwa mereka.
Mereka hanya mampu melihat aksi rakan-rakan padahal telah berlatih sejak sekian lama dan ada bermula dari umur 13 tahun. Apatah lagi mereka pernah bersama menjalani latihan di China dan juga Jepun berbulan-bulan lamanya.
Gara-gara kecederaan dan persaingan merebut tempat yang sengit, Khairul Rasul Hilmi Kamarul Bahri dan Wan Muhammad Ikmaluddin Hakim Wan Jailani percaya dan akur dengan ketentuan takdir.
Kedua-dua anak jati Bukit Payung, Marang, Terengganu itu percaya dengan hikmah dengan apa yang menimpa mereka.
Bagi Khairul Rasul Hilmi, 18, pembedahan Ligamen Krusiat Anterior atau Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan ligamen medial patellofemoral (MPFL) di lututnya memusnahkan impian untuk beraksi di halaman sendiri di hadapan rakyat Malaysia.
Pelajar Pra Universiti Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata, biarpun terkilan dan sedikit kecewa, dia kini hanya mahu memberi fokus kepada proses pemulihan lututnya yang mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Macam-macam perasaan yang timbul. Memang ada sedikit kecewa dan geram pun ada bila tengok rakan beraksi. Namun saya menerima dengan hati terbuka dan percaya dengan hikmah di kemudian hari.
“Saya terima dengan baik dan reda kerana tidak terpilih beraksi di KL2017. Ini adalah asam garam sebagai atlet. Cukuplah hanya kecewa sekejap kerana perjalanan karier saya masih jauh
“Namun saya tumpang gembira dengan prestasi rakan pada temasya KL2017 yang berjaya meraih lima pingat emas,” katanya yang memilih gelang sebagai acara kegemaran.
Bagi Wan Muhammad Ikmaluddin, 19, pula, dia tidak terpilih di saat akhir biarpun telah dihantar menjalani latihan pesat di Jepun bagi menyiapkan diri ke KL2017.
Malah anak kedua daripada empat beradik turut berkorban untuk menangguh pembelajaran satu semester Pra Universiti Sekolah Sukan Bukit Jalil demi memberi fokus ke temasya terbesar di Asia Tenggara ini.
“Saya akan meneruskan perjuangan dalam sukan gimnastik meskipun tidak terpilih ke KL2017 kerana tiada istilah merajuk.
“Tipulah kalau Perasaan sedih dan kecewa tidak ada tapi saya akur dengan keputusan jurulatih dan akan terus berjuang bersama rakan gimnas selepas KL2017 demi masa depan sukan ginmastik negara,” katanya yang memilih palang sejajar sebagai acara kegemaran. – MalaysiaGazette