KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Akademi Inovasi Wanita (MyWIN Academy) malam ini dan berharap ia berperanan melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berinovasi.
Perdana Menteri berkata, akademi tersebut akan berpegang teguh kepada dua asas iaitu “wanita” dan “inovasi” serta dilihat mampu menghasilkan kumpulan usahawan yang bergerak selari dengan perubahan zaman.
“Salah satu kumpulan sasaran Academy MyWIN secara semula jadinya adalah keusahawanan. Saya ingin melihat MyWIN menghasilkan banyak usahawan wanita dengan kecanggihan perniagaan yang diperlukan, berorientasikan ke arah masa depan, dan memanfaatkan kuasa teknologi sepenuhnya.
“Dengan cara ini mereka akan mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada negara, dan bukan hanya serantau, tetapi juga secara global,” katanya semasa merasmikan penubuhan Academy MyWIN di Plaza VADS, Kula Lumpur.
Setakat ini, seramai 366 wanita sudah mendapat manfaat daripada akademi tersebut menerusi program dikenali sebagai PEAK dan semua mereka sudah berjaya menamatkan kursus.
“Kepada graduan Program PEAK, dan juga para wanita muda di bawah program Wanita dalam Misi, saya harap anda meneruskan perjalanan kecemerlangan dan anda akan dapat menggunakan semua yang anda pelajari daripada MyWIN untuk menyumbang semula Kepada masyarakat.
“Saya percaya bahawa anda boleh menjadi inspirasi dan peranan kepada semua wanita muda di luar sana,” katanya lagi.
Menerusi program PEAK, ia berjaya melahirkan usahawan wanita seperti Faridah Halina Zairi yang dahulu mengganggur tetapi kini sudah memiliki sebuah kafe sendiri dimana pekerjanya terdiri daripada anak muda dan Ku Hasnur Afiz yang mendapat bantuan daripada agensi kerajaan untuk menjayakan produk yang diciptanya sendiri.
Menurut Najib, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan kaum wanita dapat memainkan peranan dalam membuat keputusan sama ada dalam kerajaan atau pun sektor swasta.
“Saya gembira kerana salah satu kumpulan sasaran MyWIN adalah wanita profesional. Mewujudkan generasi baru wanita berinovasi dalam sektor korporat adalah sangat selaras dengan usaha berterusan kami untuk meningkatkan bilangan wanita dalam peranan membuat keputusan di sektor korporat.
“Kami telah membuat kemajuan penting dari sudut ini, 35.8 peratus daripada kedudukan membuat keputusan sektor awam kini dipegang oleh wanita sementara di sektor korporat, saya sangat bangga mengatakan bahawa kita telah mencapai sasaran 30 peratus,” ujarnya lagi.
Sebagai tanda komitmen Najib dalam pelancaran MyWIN, beliau juga mengumumkan sebuah lembaga penasihat yang dipengerusikannya sendiri dan timbalannya ialah Tan Sri Lim Kok Wing.- MalaysiaGazette