
KUALA LUMPUR – Gagal memenangi sebarang pingat namun kuartet 4×100 meter lelaki negara berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam Sukan SEA Ke-29 dengan catatan masa 39.27 saat di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Rekod sebelum ini adalah 39.62 saat yang dilakukan pada Julai lalu di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam.
Pemenang pingat emas acara 100 meter, Khairul Hafiz Jantan terpaksa menarik diri di saat-saat akhir selepas mengalami kecederaan di kaki.
Emas menjadi kuartet Thailand yang turut memperbaharui rekod temasya dengan catatan 38.90 saat berbanding rekod yang dipegang oleh mereka sendiri, 38.95 saat.
Terdahulu, rekod temasya dalam acara 4×100 meter wanita turut dipecahkan oleh pelari Vietnam dengan catatan masa 43.88 saat.
Catatan itu memperbaharui rekod sebelum ini milik Thailand 44.00 saat yang dibuat pada tahun 2013.
Kuartet negara menamatkan saingan dalam acara itu di tempat kelima. – MalaysiaGazette