Home Politik PM mahu Shahrir kekal pertahan Parlimen Johor Bahru

PM mahu Shahrir kekal pertahan Parlimen Johor Bahru

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Tan Sri Shahrir Samad.

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad diminta untuk terus mempertahankan kerusi parlimen tersebut bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di situ pada pilihan raya akan datang.

Hasrat tersebut disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Harapan sama disuarakan UMNO Johor menerusi Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perdana Menteri berkata, permintaan itu dibuat berdasarkan ‘The Shahrir Factor’ yang masih ada pada Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru untuk terus memimpin UMNO dan BN.

“Saya sebagai presiden berharap sangat dia tidak akan berundur tapi saya tahu ‘peel’ Tan Sri, kita tidak boleh desak, kita cuma boleh bisik-bisik sebab lagi kita desak lagi keras dia,” katanya.

Najib berkata, selain itu, Shahrir juga ada prinsip dalam perjuangan yang beliau percaya menyumbang kepada kemenangan UMNO dan BN di Parlimen Johor Bahru.

“Sebab itulah bila orang ada prinsip..Shahrir letak label apa pun dia menang….label ikan pun menang…kunci pun menang,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika berucap berkata, beliau tahu ramai yang bimbang apabila Shahrir menyuarakan hasrat untuk berundur dalam politik kerana gusar sama ada parti mampu mengekalkan kerusi Johor Bahru tanpa Shahrir.

“Saya tiada niat hendak komen hasrat Tan Sri ini, kerana cakap salah, tak cakap pun salah. Saya serahlah pada YAB Datuk Seri apa kesudahannya.

“Namun begitu, sekalipun kami amat menghormati apa-apa sahaja keputusan Tan Sri, di hadapan Datuk Seri Presiden dan Tan Sri sendiri; di sini saya tidak teragak-agak menyatakan secara terbuka hasrat kami di Johor bahawa, jika ruang masih terbuka untuk kami menyatakan harapan, kami amat berharap yang Tan Sri akan teruslah mewakili Johor Bahru,” katanya.

Menteri Besar itu berkata, beliau percaya Johor Bahru masih memerlukan ikon politiknya yang berwibawa dan disegani. – MalaysiaGazette.