PASIR GUDANG – Ketika sedang ligat menjelajah seluruh negara berkempen tentang cita-cita untuk ‘menyelamatkan Malaysia’, Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan supaya melihat kembali sejarah politiknya ketika bersama dengan UMNO.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Azman Jaafar dalam tulisan yang dikirim ke MalaysiaGazette menyatakan bekas pemimpin UMNO Bahagian Pagoh itu menggelikan hati.
Ia apabila Muhyiddin membuat dakwaan tidak masuk akal bahawa bekas parti lamanya bakal tersungkur pada Plihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.
“Maka berkokoklah seorang ketua kelasi sebuah parti yang pernah mengaku totok bahawa UMNO sedang berada di penghujungnya. Saya tidak tahu sama ada ingin ketawa ataupun merasa kecut dengan ancaman itu,” katanya.
Tambah Azman, meskipun Muhyiddin pernah menyatakan bahawa beliau tidak mengikuti jejak Anwar yang berpaling tadah dengan ketuanya ketika menjadi tmbalan perdana menteri suatu ketika dahulu namun, Muhyiddin akhirnya melakukan perkara sama.
Justeru, perjalanan politik Muhyiddin yang tidak ubah seperti ketua pembangkang itu memberi kesan yang mendalam kepada pengikut-pengikutnya terutama di Pagoh.
“Sememangnya saya yakin bahawa Muhyiddin terkesan apabila orang bawahannya, suatu ketika dahulu dengan yakin menyatakan bahawa Pagoh tidak akan menjadi Permatang Pauh.
“Permatang Pauh(Anwar) dan Pagoh(Muhyiddin) mempunyai persamaan dan perbezaan.
“Persamaannya, mereka berdua adalah bekas pemimpin kedua tertinggi parti di Malaysia. Bezanya, seorang dipenjarakan manakala seorang lagi dipecat.
“Walaupun mereka secara amnya menyatakan bahawa mereka tetap mendokong ketua mereka, namun itu semua hanyalah sandiwara meraih simpati kerana akhirnya mereka berdua telah disingkirkan dari kerajaan dan juga parti.”
Tambah Azman, bukan sahaja rakyat Johor yang telah menghidu sikap hipokrit Muhyiddin malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengesan perkara tersebut.
“Paling ketara sewaktu isu 1MDB sedang hangat diperkatakan dan sememangnya ‘angin panas’ melanda Johor menyatakan bahawa Najib akan melepaskan jawatannya selepas selesai pernikahan anaknya.
“Muhyiddin, menurut beberapa orang kuatnya seakan-akan memasang strategi agar kes 1MDB serta derma RM2.1 bilion yang dihadapi Perdana Menteri itu akan memaksanya melepaskan jawatan.”
Dalam tulisan tersebut, Azman turut mengingatkan beberapa kegagalan projek yang dikendalikan oleh Muhyiddin termasuk projek Safari dan JB Waterfront.
Lebih teruk, ketika menjadi Menteri Besar Johor selama 10 tahun, kepimpinan Muhyiddin juga turut dipersoalkan terutama dalam pembinaan rumah bagi golongan miskin di Negeri itu. – MalaysiaGazette