Home Utama KL2017: Tandukan Thana bawa Malaysia ke final

KL2017: Tandukan Thana bawa Malaysia ke final

SHAH ALAM – Jaringan tunggal penyerang negara, N. Thanabalan pada lewat perlawanan membawa Malaysia ke final acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas mengalah Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.

Skuad negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee akan bertemu Thailand dalam pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Terdahulu, Thailand, selaku juara bertahan, sebelum itu, melangkah ke final selepas mengalahkan Myanmar juga dengan 1-0 pada satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Selayang.

Beraksi di hadapan kira-kira 80,000 penonton, Malaysia terlebih dahulu memberi amaran awal menerusi Muhammad Safawi Rasid yang berjaya melakukan larian deras ke dalam kotak penalti Indonesia sebelum membuat hantaran tepat kepada Thanabalan, namun gagal disudahkannya.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sekali lagi mengancam kubu pertahanan skuad kendalian Luis Milla apabila sepakan penjurunya melencong ke arah gawang Indonesia namun berjaya ditepis penjaga, Satria Tama Hardiyanto, pada minit ke-29.

Seminit kemudian, Thanabalan melakukan percubaan jarak dekat namun selagi diselamatkan oleh Satria sebelum Indonesia mendapat peluang pada minit le-33 menerusi sepakan percuma Septian David Maulana yang gagal membawa perubahan kepada skor pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, pemain gantian, Muhammad Jafri Muhammad Fridaus hampir mengukir senyuman di wajah puluhan ribu penyokong Malaysia menerusi tandukan pada minit ke-65 yang hanya seinci melewati tiang gol Indonesia.

Lima minit berselang, penyerang pasukan Pulau Pinang itu sekali lagi melakukan lompatan tinggi untuk menanduk hantaran rakan sepasukan dari sebelah kanan, namun masih gagal memecah kebuntuan.

Memasuki 20 minit terakhir permainan, Indonesia, yang kali terakhir mara ke final pada edisi 2011, mula menggandakan asakan bagi memburu gol pembukaan, namun kekebalan benteng pertahanan negara yang diketuai kapten Muhammad Adib Zainudin berjaya mematahkan serangan negara jiran itu.

Akhirnya, penantian gol muncul pada minit ke-87 apabila Thanabalan menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Nor Azam Abdul Azih untuk meletakkan Malaysia selangkah untuk mengulangi sejarah merangkul ibu segala pingat di laman sendirii selepas edisi 1989 di Kuala Lumpur.- BERNAMA