Home Nasional SPRM akan tubuh jawatankuasa khas siasat isu Ladang Gatco

SPRM akan tubuh jawatankuasa khas siasat isu Ladang Gatco

Dzulkifli Ahmad

JEMPOL – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat aduan penduduk Kampung Serampang Indah yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco, berkenaan isu penjualan tanah ladang berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, jawatankuasa itu akan meneliti semua dokumen yang disertakan dalam aduan yang dibuat Badan Bertindak Peneroka Gatco, namun akan mengambil masa memandangkang perkara tersebut berlaku 40 tahun lalu.

“…jika ada asas, (SPRM) akan ambil tindakan seterusnya untuk memastikan hak rakyat dan penduduk Gatco terbela,” katanya selepas bertemu dan mendengar sendiri keluhan penduduk kampung tersebut, di sini Ahad.

Lawatan itu susulan aduan yang dibuat badan bertindak penduduk kepada SPRM pada Rabu lepas. Hadir sama Pengerusi MIC Jelebu R Ravi yang juga Pengerusi MIC Cawangan Kampung Serampang Indah.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, walaupun isu Ladang Gatco pernah dibawa ke mahkamah atas kes sivil, perkara itu tidak menghalang siasatan SPRM yang meneliti pada aspek rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Saya mahu SPRM menjadi badan pencegahan rasuah dan agensi rakyat yang akan bertindak untuk rakyat tidak kira bangsa dan agama.

“Kalau sekiranya hak-hak rakyat diceroboh dan dikhianati oleh orang yang tamak dengan salah guna kuasa, SPRM akan bertindak,” katanya.

Terdahulu, Ravi menyerahkan lebih 150 dokumen melibatkan urusan jual beli tanah di Ladang Gatco dan aduan setebal tujuh muka surat kepada Dzulkifli.

Antara lain badan bertindak penduduk kampung itu mendakwa terdapat penyelewengan dalam penjualan tanah tersebut kepada Thamarai Holdings Sdn. Bhd. pada 2007 memandangkan syarikat berkenaan hanya membayar RM16 juta sedangkan nilai pasaran semasa ialah sekitar RM500 juta.

Rentetan kes Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar berkenaan, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup, menyebabkan ladang tebu terbabit dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan Gatco menjadikan kawasan tersebut sebagai tanah rancangan dengan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 10 ekar (4 hektar) dengan bayaran antara RM4,000 dan RM7,000 seorang.

Pada awalnya ladang tersebut dirancang untuk dijadikan ladang getah, namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek itu terbengkalai dan tanah tersebut dirampas sebelum ditawarkan dalam lelongan awam pada 2004 dan dibeli oleh Thamarai Holdings pada 2007. – Bernama