Home Seni Hidup Syafiq Yusof berjaya dengan Abang Long Fadil 2

Syafiq Yusof berjaya dengan Abang Long Fadil 2

Abang Long Fadil dipawagam 24 Ogos lalu

KUALA LUMPUR – Jika pada tahun 2014 filem Abang Long Fadil berjaya mengutip RM4.61 juta, tahun ini Syafiq Yusof melalui Skop Production kembali dengan sekuel Abang Long Fadil 2.

Masih mengekalkan Zizan Razak sebagai tunjang utama, untuk kali ini beberapa nama baru ditampilkan dalam filem komedi dengan genre aksi. Ini termasuklah Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, A. Galak, Tania Hudson, Wak Doyok dan Achey Bocey.

Filem ini mengisahkan Abang Long Fadil yang mahu berubah dari kisah lampaunya namun terperangkap sebagai suspek kes pembunuhan seorang wanita.

Bagaimanapun selepas dihadapkan ke mahkamah, Inspektor Wahab (lakonan Syamsul Yusof) membebaskan Fadil.

Fadil kemudiannya meminta bantuan wartawan stesyen tv, Yana (Tania Hudson) dan Ali (Achey).

Dalam masa sama, Fadil dibawa menghadap Taji Samprit (A.Galak) dan Wak Doyok (Wak Doyok) yang merupakan gangster besar kerana mereka mempercayai Fadil telah membunuh wanita berkenaan dan Fadil adalah pembunuh upahan mereka yang bernama Tiger sebelum itu.

Konflik mula timbul apabila Fadil enggan membunuh seperti mana diarahkan.

Secara keseluruhannya filem ini sangat menghiburkan. Malahan filem ini ditangani Syafiq Yusof dengan baik.

Sebagai pengarah, Syafiq mengambil pelbagai sudut kamera. Ini mungkin kelebihan kerana Syafiq juga adalah penyunting, maka dia tahu apa yang perlu dirakam.

Syafiq dilihat mempunyai potensi yang amat jauh dalam bidang ini.

Filem Desolasi yang dibikinnnya sebelum ini dilihat sebagai tanda aras tahap Syafiq.

Namun Abang Long Fadil 2 dikeluarkan demi tuntutan pasaran namun Syafiq masih mengekalkan kualiti.

Satu aspek yang perlu Syafiq perlu ambil perhatian adalah pembinaan karektor dan pengarahan lakonan.

Jika dilihat filem ini hampir semua pelawak tampil dengan karektor masing-masing seperti mana yang dapat dilihat dalam progam komedi di televisyen.

Mungkin Syafiq boleh mengeksplorasi kepelbagaian watak yang boleh mewarnai filem itu.

Sebagai contoh terdekat filem arahan Mamat Khalid, watak Awie dalam filem Zombie Kampung Pisang tidak komedi berbanding watak lain. Namun perwatakan Awie dikembangkan melalui sikap dan situasi yang membuatkan penonton tertawa dengan aksinya.

Filem edaran Astro Shaw ini mula berada di pawagam 24 Ogos lalu.