Home Politik Tiada sebarang rundingan kerjasama dengan PKR – Khairuddin

Tiada sebarang rundingan kerjasama dengan PKR – Khairuddin

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali hari ini berkata, tiada sebarang rundingan kerjasama dengan PKR akan terjalin bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Malah katanya, Pas akan hanya bekerjasama dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera yang dibentuk sebelum ini.

“Tak ada lagi sebarang rundingan kerjasama politik untuk pilihan raya dengan mana-mana pihak kecuali menerusi Gagasan Sejahtera. Termasuk atas nama individu sekalipun selagi ia membawa imej PH,” katanya kepada MalaysiaGazette.

PKR sebelum ini berkata rundingan kerjasama antara parti itu dengan Pas tidak melibatkan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Azmin yang dilantik selaku Pengarah Pilihan Raya PH berkata, beliau bukan menjadi wakil PH dalam rundingan itu tetapi ia merupakan​ langkah untuk mengekalkan kerjasama dengan Pas.

Justeru menurut Khairuddin, kerjasama dengan PKR tidak akan berlangsung sama sekali.

“Ahli dan pimpinan telah bersedia dari sudut psikologinya untuk masuk PRU-14 bersama Gagasan Sejahtera berhadapan dengan UMNO/BN atas moto Pas ganti UMNO dan Gagasan Sejahtera ganti BN dan PH,” katanya lagi.

Sebelum ini Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan kerjasama itu berlaku. -MalaysiaGazette.