Home Dunia Turki kecam keganasan di Rakhine

Turki kecam keganasan di Rakhine

Ratusan penduduk di Rakhine menyelamatkan diri selepas perkampungan mereka diancam keganasan.

ANKARA – Kerajaan Turki mengecam keganasan yang berlaku di wilayah Myanmar di Rakhine sehingga menyebabkan 89 terkorban pada Jumaat lepas.

Kementerian Luar Turki dalam kenyataan media mengutuk serangan serta menekankan aktiviti keganasan tidak boleh menyelesaikan masalah, lapor Agensi Berita Turki, Anadolu News Agency.

Kenyataan itu menyatakan rasa sedih dengan kejadian tersebut ketika laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai konflik itu dikeluarkan.

Laporan setebal 63 muka surat itu diserahkan kepada kerajaan Myanmar dan suruhanjaya itu menggesa ditamatkan sekatan pergerakan dan isu kerakyatan 1.2 juta masyarakat Rohingya di Rakhine.

Sebelum ini, dilaporkan penduduk yang ketakutan cuba melarikan diri dari perkampungan terpencil di negeri utara Myanmar di Rakhine ke Bangladesh, ketika pertempuran memuncak antara pemberontak Rohingya dan anggota keselamatan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Tentera Myanmar didakwa melepaskan tembakan ke arah etnik Rohingya, lapor wartawan agensi berita AFP dan pengawal sempadan Bangladesh.

Wartawan itu berkata, ratusan penduduk Rohingya menyeberangi sempadan ke Bangladesh apabila pengawal sempadan berehat ketika hujan lebat, dengan sesetengahnya berenang menyeberangi Sungai Naf. – MalaysiaGazette