PUTRAJAYA – Masyarakat disarankan supaya memberi peluang kedua kepada bekas banduan yang pernah menjalani hukuman penjara untuk berjaya dalam kehidupan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan kebertanggungjawaban setiap warga Malaysia untuk membentuk setiap bekas pesalah kembali ke pangkuan hidup normal yang lebih bermoral.
“Saya ingin menjelaskan kepada semua supaya memahami bahawa penjara bukan hanya tempat menghukum banduan.
“Penjara sebenarnya adalah tempat atau institusi yang melaksanakan pemulihan dan rehabilitasi supaya mereka insaf dan keluar dari kehidupan pahit masa lampau.
“Kita mahu supaya mereka di luar sana iaitu masyarakat tidak memandang enteng tetapi beri peluang kedua dan sokongan morakl kepada bekas banduan supaya dapat bercampur semula dengan keluarga dan berasimilasi,” katanya.
Beliau merangkap Menteri Dalam Negeri menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini pagi ini.
Kata Ahmad Zahid, sejak tahun 2008 hingga 17 Jun lalu, daripada 17,081 orang banduan yang diparol hanya 75 orang atau 0.04 peratus sahaja yang terjebak dalam jenayah semula atau banduan berulang.
“Kesemua pencapaian ini hasil kebertanggungjawaban dan etika perkhidmatan cemerlang agensi dan pegawai, sehingga warden penjara yang serius dalam mendukung transformasi menginsafkan pesalah di mata masyarakat.
“Memang sedar bekas banduan yang insaf agak sukar diterima masyarakat untuk menjalani kehidupan kedua.
“Di sini adalah menjadi tanggungjawab pengamal media yang sentiasa mencari isu sensasi supaya menulis tentang perkara ini membuka mata masyarakat,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga menyarankan tugas pengamal media bukan sekadar mencari dan menegur kesalahan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya dalam berita saban hari.
“Media yang selalu komited dan sentiasa memberi kerjasama kepada KDN perlu juga memerhatikan kebertanggungjawaban cemerlang yang dicurahkan jabatan dan pegawainya dalam mentransformasikan tugas masing-masing.
“Media sentiasa hanya menegur dan menyiarkan berita mengenai kesalahan jabatan-jabatan KDN sahaja, itu tidak salah ttapi, bolehlah juga prestasi perkhidmatan dan kebertanggungjawaban pegawai kita dalam melaksanakan misi dan transformasi kementerian juga diberi tumpuan selepas ini.
“Kejayaan agensi kita contohnya Jabatan Penjara yang memberi didikan pemulihan kepada banduan kembali kepada kehidupan normal yang disiplin juga perlu diberi fokus.
“Kita berjaya mentransformasikan banduan sehingga ada antaranya yang kembali meneruskan pengajian ke tahap ijazah sarjana dan doktor falsafah.
“Biar rakyat melihat pencapaian cemerlang kita dalam mentransformasikan perkhidmatan kami ke tahap tinggi,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette