KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak kisah meskipun ada pihak yang cuba menidakkan sumbangannya kepada negara selama ini.
Ahli politik berusia 92 tahun itu berkata demikian selepas tular gambar halaman buku teks sekolah yang langsung tidak menyebut namanya ketika membincangkan perdana menteri dulu dan kini, lapor sebuah laman portal.
“Saya tak hairan. Dia tak letak nama pun, orang kenal saya. Boleh padam, jangan cerita langsung. Tak pernah kerja, tak pernah sumbang apa pun terhadap pembangunan.
“Kata Mahathir tak pernah lahir…bin Iskandar Kutty tak pernah lahir,” katanya sambil menyindir dakwaan Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini yang mengatakan dirinya bukan keturunan Melayu.
Baru-baru ini, tular apabila gambar Tun Mahathir tidak dimasukkan sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat dalam buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3.
Bagaimanapun, selepas itu, Kementerian Pendidikan tampil menyangkal tuduhan buku itu terbitannya. – MalaysiaGazette