Home Nasional JPJ tahan penunggang motosikal guna plat belum daftar

JPJ tahan penunggang motosikal guna plat belum daftar

Mahasan (kanan) memeriksa motosikal yang digunakan penunggang terbabit dengan menggunakan nombor pendaftaran DDD 111.

KOTA BHARU-  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menahan seorang lelaki berusia 20-an yang menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran DDD 111 iaitu nombor plat yang belum dikeluarkan.

Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa berkata, nombor yang digunakan pada motosikal jenis Honda EX5 itu disahkan palsu kerana keputusan tender belum dikeluarkan lagi.

“Sebelum ini, JPJ menerima laporan mendakwa ada seorang penunggang motosikal menggunakan nombor plat meragukan sebelum risikan dijalankan.

“Lelaki terbabit kemudiannya berjaya ditahan di Jalan Kebun Sultan pada 3.20 petang semalam,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Panji hari ini.

Mahasan berkata sebaik ditahan, lelaki terbabit memberi alasan sudah mentender nombor pendaftaran itu dengan menggunakan nama individu lain kira-kira sebulan lepas.

Beliau berkata JPJ bagaimanapun masih dalam proses mengeluarkan keputusan tender nombor itu yang dijangka diumumkan bulan depan.

“Siasatan lanjut turut mendapati motosikal itu digunakannya sejak 2 tahun lepas namun menggunakan nombor pendaftaran lain, selain tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans malahan suspek juga tidak mempunyai lesen kenderaan motor,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 108 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette