Home Nasional Setem khas 150 tahun Negeri-Negeri Selat

Setem khas 150 tahun Negeri-Negeri Selat

Pegawai Pos Malaysia, Siti Sharreezad Mohamad Indera dan Hazrul Afiq Mohd Radli menunjukkan setem-setem yang akan digunakan pada sidang media 150 tahun Setem Negeri-Negeri Selat di Galeri Setem, Pos Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini memperkenalkan koleksi setem 150 tahun Setem Negeri-Negeri Selat.

Setem keluaran sementara dan eksklusif itu akan mula dikeluarkan pada Jumaat ini dan mula dijual kepada pengumpul setem dan orang awam bermula Isnin depan.

Ketua Unit Setem dan Philateli Pos, Diyana Lean Abdullah berkata, pengeluaran setem ini bakal menjadi sejarah untuk penggemar dan pengumpul setem tempatan.

“Pos Malaysia mengeluarkan setem bersejarah ini bersempena memperingati ulang tahun ke-150 Negeri-Negeri Selat ppada 1 September ini.

“Koleksi sejarah ini akan mengetengahkan tiga jenis setem bernilai 60 sen (reka betuk setem bernilai 2sen, 3sen dan 3 1/2 sen), 80 sen (reka bentuk setem bernilai 4 sen, 6 sen dan 8 sen) dan 90 sen( reka bentuk setem bernilai 12 sen, 24 sen dan 32 sen).

“Tanda pembatalan untuk koleksi setem kali ini adalah mendukung reka bentuk setem pertama negeri-negeri Selat dan dikelilingi oleh perkataan Setem Negeri-Negeri Selat,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan setem keluaran khas itu di Ibu Pejabat Pos di ibu negara.

Katanya sebanyak 200,000 setem bernilai 60 sen dikeluarkan, manakala Setem bernilai 80 sen (200,000 keping) dan 90 sen (140,000 keping).

Selain itu, katanya produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dikeluarkan dalam jumlah 32,000 keping sahaja, termasuk risalah berharga 55 sen dan folder dijual pada harga RM6.35.

Justeru, ujarnya, set lengkap koleksi setem “150 tahun Setem Negeri-Negeri Selat-Keluaran Sementara” dijual pada harga RM33.70 setiap satu.

“Mengenai setem bersejarah ini, setem India digunapakai oleh kawasan-kawasan jajahan British di bawah Syarikat India Timur(SIT) sebelum adanya negeri-negeri selat.

“Lantas apabila Pulau Pinang, Melaka dan Singapura berada dibawah pentadbiran pusat di London, koleksi baharu dihasilkan bagi memperkenalkan kawasan-kawasan baharu ini.

“Maka setem negeri-negeri Selat dan setem tempatan digunakan bersama untuk penghantaran surat daripada kawasan British Malaya, British Borneo, Brunei serta kepulauan Christmas dan Cocos,” katanya.

Orang ramai digalakkan membuka Akaun Pesanan Tetap atau Standing Order Deposit Account (SODA) untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA dengan mendaftar di mana-mana pejabat pos atau dalam talian di www.posonline.com.my. Set lengkap folder juga dijual di www.eziemall.com.

Untuk sebarang pertanyaan tambahan, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.pos.com.my , emel kepada [email protected] atau berkunjung terus ke Pos Malaysia di Bahagian galeri Filateli di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi. – MalaysiaGazette