Home Nasional Polis P.Pinang tingkat keselamatan sambut merdeka

Polis P.Pinang tingkat keselamatan sambut merdeka

GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang meningkatkan keselamatan dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan walaupun tidak menerima maklumat mengenai ancaman semasa sambutan Hari Kebangsaan di negeri ini esok.

Ketua Polis Negeri Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihak polis tidak akan mengambil mudah kemungkinan itu dengan sentiasa melakukan pemantauan selain mengatur gerak kerja bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

“Polis memang sentiasa bersiap siaga dan sempena sambutan ambang merdeka malam ini dan Hari Kebangsaan esok kami akan tingkatkan keselamatan dengan menempatkan lebih ramai polis di tempat-tempat tumpuan terutama di Padang Kota iaitu kawasan perarakan esok.

“Saya juga akan turun di kawasan perarakan Hari Kebangsaan esok untuk melihat sendiri keadaan di sana dan penduduk Pulau Pinang tidak perlu bimbang kerana polis telah mengambil langkah awal termasuk risikan…setakat ini tiada sebarang ancaman jadi mereka boleh meraikannya dengan aman damai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang di sini Rabu.

Seramai 5,800 peserta daripada 88 kontinjen dari pelbagai agensi akan mengambil bahagian pada perarakan Hari Kebangsaan peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama.

Chuah berkata, pihaknya juga akan menjalankan operasi membanteras kegiatan lumba motosikal haram, penagih serta pengedar dadah, penyeluk saku dan kesalahan trafik.

“Turut dijalankan ialah operasi kegiatan yang boleh menimbulkan kekacauan seperti meraikan sambutan ambang merdeka sehingga menganggu ketenteraman orang lain dan pembakaran mercun tidak dibenarkan juga,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya indeks jenayah Kontinjen Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 3,961 kes sejak 1 Jan hingga 21 Ogos lepas dan ia menunjukkan penurunan 384 kes atau bersamaan 9.7 peratus tahun lepas.

“Bagi tempoh yang sama, jenayah harta benda telah mencatatkan sebanyak 2,866 kes tahun ini berbanding 3,288 kes pada 2016 iaitu penurunan 12.8 peratus manakala jenayah kekerasan pula meningkat 38 kes pada tahun ini iaitu 711 kes berbanding 673 kes tahun lepas,” katanya. – MalaysiaGazette