Home Utama RCI Forex: Gabenor BNM terkejut kerugian RM9 bilion

RCI Forex: Gabenor BNM terkejut kerugian RM9 bilion

Liew Siew Kuan hadir sebagai saksi kesebelas prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990an di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2017

PUTRAJAYA –  Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an hari ini diberitahu Gabenor BNM ketika itu, Jaafar Hussein terkejut dengan kerugian yang dialami.

Saksi kesebelas, Liew Siew Kuan memberitahu lima panel RCI kadar kerugian ketika itu adalah berjumlah RM9 bilion.

Siew Kuan merupakan Pembantu Khas Bank kepada Gabenor BNM ketika itu.

“Beliau (Jaafar Hussein) terkejut. Saya beritahu beliau saya hanya melaporkan kepadanya kerana tidak ada orang lain yang laporkan, jadi beliau boleh ambil tindakan.

“Ia benar-benar kira-kira RM9 bilion. Gabenor itu berkata ‘boleh awak tolong saya?’ dan saya tanya mengapa?

“Jaafar Hussein memberitahu saya, ‘Tolong beritahu ketua audit’. Jadi saya jumpa Ketua Audit Negara (ketika itu Ishak Tadin).

“Saya rasa kita kerugian besar dalam BNM. Dan saya rasa ia kira-kira RM9 bilion. Gabenor minta saya ke sini dan beritahu mengenainya. Untuk selamatkan reputasi Malaysia. Selamatkan negara,” katanya kepada ahli panel RCI.

Siew Kuan memberitahu dia diminta oleh Jaafar untuk melihat akaun berkenaan.

“Terdapat kerugian besar yang dialami BNM daripada urus niaga forex dan gabenor memberitahu saya memeriksa semua akaun itu,” kata Siew Kuan.

Dalam sesi itu juga, Siew Kuan turut memberitahu, ‘kerajaan tidak mempercayai kerugian sebanyak itu’.

Prosiding hari ini merupakan sesi keempat RCI bagi menyiasat kes kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

Kerugian itu berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim pula merupakan Menteri Kewangan ketika itu.

Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.