Home Nasional Kerajaan tak mahu terjebak dengan percanggahan politik – PM

Kerajaan tak mahu terjebak dengan percanggahan politik – PM

Kelihatan salah sorang pelanggan restoran menonton program tv Program Bicara Merdeka yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Restoran Sup Al-Deen, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mahu membuang masa untuk terjebak dan melayan percanggahan dalam politik sebaliknya tetap komited merencana agenda kepesatan ekonomi demi menyelesaikan masalah rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan perlu memberi khidmat kepada rakyat dengan bersifat melangkaui politik dengan berpaksikan kepentingan bersama.

Menurut beliau, langkah kerajaan itu dibuktikan apabila majalah Forbes baru-baru ini meletakkan Malaysia ditangga teratas daripada semua negara di Asia untuk pelaburan asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Bahkan katanya, agensi penarafan antarabangsa Fitch Rating mengekalkan kredit Malaysia kepada unjuran stabil pada skor A-.

“Pucuk pangkalnya diera pentadbiran kerajaan ini tiada hadiah yang lebih istimewa kepada rakyat sebagai pengisian kepada sebuah kemerdekaan melainkan menjadi kerajaan yang mampu menyampai janji-janji yang dibuat dari masa ke semasa.

“Malaysia merupakan sebuah negara paling atas daripada semua negara di Asia untuk pelaburan asing.

“Mana mungkin sesetengah pihak sesuka hati menuduh bahawa Malaysia sekarang ini sebagai sebuah negara gagal sedangkan pada era 90an dimana kedudukan reserved yang jauh sebenarnya pada waktu itu tidak pula dikatakan sebagai negara yang gagal,” katanya menerusi program Bicara Merdeka yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus mengutamakan projek-projek infra rakyat seperti Mass Rapid Transit (MRT) yang jelas bertaraf dunia dan sudah berjaya disiapkan serta membawa impak kepada 500,000 penguna setiap hari.

“Begitulah juga projek-projek East Coast Railing, Lebuh Raya Pan Borneo serta high speed rail (keretapi laju) yang sedang rancak dan bakal dibina,” ujarnya.

Disamping itu tambah beliau, ia turut disertakan dengan bantuan dibawah jenama 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PR1MA), Klinik 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan bantuan-bantuan kepada petani, pekebun kecil, nelayan serta para peneroka Felda.

Najib turut mengingatkan bahawa sekarang ini bukanlah masa untuk berpecah belah sebaliknya, perlu mara ke hadapan dengan menumpukan aspirasi ke arah Transformasi Nasional (TN50).

Bagi tujuan itu kata beliau, rakyat mesti menjayakan dasar digital Malaysia dan mempersiapkan negara untuk melangkah dengan megah ke arah revolusi ke empat.

“Ayuhlah rakyat Malaysia, jalanlah, jangan sesekali berhenti, kita bangkit bersama kersana kita hanya ada satu mimpi, kita cuma punya satu cita-cita menjulang negaraku Malaysia, berteranformasi, berjaya dan terus berjaya,” katanya. – MalaysiaGazete