Home Seni Hidup KL2017: Jaclyn baru bersalin minggu lalu

KL2017: Jaclyn baru bersalin minggu lalu

Foto Instagram Jaclyn Victor

KUALA LUMPUR – Kemunculan penyanyi, Jaclyn Victor ketika tampil mengadakan persembahan pada acara penutup Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi cukup memukau.

Penyanyi berusia 39 tahun itu menyanyikan lagu Together We Rise duet bersama Vince Chong selain lagu berhantunya, Gemilang.

Namun jangan terkejut kerana dia baharu sahaja melahirkan anak keduanya minggu lalu.

Jaclyn menerusi perkongsian di Instagram memberitahu dia bersalin pada 24 Ogos lalu iaitu pada tarikh sama dia melahirkan anak pertamanya, Jonah Joshiah Rivera dua tahun lalu.

Dia turut mendedahkan jantina bayinya itu perempuan apabila merujuk anaknya itu sebagai ‘mini me’.

“Mungkin anda tidak percaya tetapi saya baru sahaja melahirkan anak minggu lalu, genap seminggu lalu pada hari ini (Khamis),” tulisnya.

Dalam pada itu, Jaclyn turut memuat naik gambar anaknya itu selain foto dia menyambut hari jadi Jonah di hospital selain swafoto dirinya yang sedang berehat di katil.

“Mereka dilahirkan pada tarikh yang sama, 24 Ogos tetapi beza dua tahun. Mereka kelihatan seperti kembar,” tulisnya.

Sementara itu, Jaclyn juga turut memuat naik gambarnya yang sarat hamil dan menurutnya ia adalah sebagai bukti dia sedang mengandung.

“Senaman terkahir sebelum saya bersalin dan gambar ini adalah untuk membuktikan saya memang mengandung… hahaha.

“Ye la kita tidak buat pengumuman kan?,” tulisnya. – MalaysiaGazette