Home Utama KL2017: Lagu tema nyanyian Dayang terlalu melankolik

KL2017: Lagu tema nyanyian Dayang terlalu melankolik

KUALA LUMPUR – Semua sudah maklumkan lagu berjudul Bangkit Bersama telah menjadi lagu tema Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang membuka tirai 19 Ogos lalu.

Lagu itu turut dipersembahkan di hadapan 80,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil pada acara pembukaan temasya paling besar di Asia Tenggara itu.

Lagu berkenaan hasil gubahan komposer, Datuk Ramli MS dan dinyanyikan oleh penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah.

Namun ramai peminat tidak dapat menerima lagu tersebut untuk sebuah acara sukan yang besar.

Ada yang menganggap lagu itu terlalu melankolik dan sesuai untuk dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu.

Mereka lebih menyukai lagu Ella berjudul Standing The Eyes Of World yang cukup berkesan hingga hari ini walapun dicipta ketika Sukan Komanwel 1998.

Malah terdapat atlet mengakui lagu itu tidak sampai ke dalam jiwanya untuk beraksi di KL2017.

Ujarnya, lagu itu akan dilupai orang ramai selepas KL2017 berakhir.

Sebelum ini Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) telah menjemput masyarakat umum untuk menyumbang idea dan cerita di media sosial bagi digabungkan sebahagian lirik lagu rasmi temasya kali ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah berkata, secara peribadi beliau menyukai lagu itu yang bersifat subjektif.

“Bagi saya semua melakukan yang terbaik memahami mesej lirik, digubah dari lirik rakyat Malaysia yang kita terima.

“Lirik bersemangat ini adalah usaha semua rakyat Malaysia dan membawa maksud dan harapan rakyat terhadap kontinjen negara kita yang akan berjuang dalam temasya nanti,” katanya selepas melancarkan lagu itu sebelum KL2017.

Lagu Bangkit Bersama melengkapkan tiga lagu tema yang dicipta untuk KL2017.

Dua lagu awal iaitu bertajuk Tunjuk Belang nyanyian Monoloque, Azlan dan Malique serta lagu bertajuk So Many Hands oleh Mia Palencia dari Sabah turut diterjemahkan dalam bahasa Melayu untuk iklan rasmi KL2017.- MalaysiaGazette