Home Dunia KL2017: PM Thailand pertahan Malaysia tuan rumah Sukan SEA

KL2017: PM Thailand pertahan Malaysia tuan rumah Sukan SEA

Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha mempertahankan Malaysia yang mengungguli kutipan pingat emas terbanyak dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan menyatakan “ia adalah normal” bagi negara tuan rumah berdasarkan persiapan lebih baik untuk menghadapi sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Walaupun memuji aksi atlet Gajah Putih dalam temasya dwitahunan itu, beliau berkata “beberapa persatuan sukan” di negara berkenaan masih dibelenggu masalah dan mahu ia diperbaiki sebaik pulang ke Thailand.

“Ia sesuatu yang normal bagi negara tuan rumah akan mendapat lebih banyak (pingat emas) berdasarkan persediaan yang dilakukan. Sama seperti kami, apabila menjadi tuan rumah, kami juga boleh menguruskan jenis sukan dan kali ini mereka (Malaysia) mempunyai persiapan lebih baik,” katanya di Rumah Kerajaan, semalam.

Walaupun menduduki tempat ke-2 di belakang Malaysia dalam keseluruhan pungutan pingat dan kehilangan mahkota serantau, Prayut berkata, beliau masih berpuas hati dengan prestasi cemerlang atlet Thailand dalam temasya itu yang membabitkan pelbagai sukan.

“Kami gembira kerana menduduki tempat ke-2, walaupun saya mahu mereka terus mengungguli carta teratas pungutan pingat,” katanya.

Komen Prayut itu dibuat susulan kritikan media dan peminat negara itu terhadap aspek penganjuran KL2017 oleh Malaysia.

Selain mengkritik negara tuan rumah mengenai perkara remeh semasa penganjuran Sukan SEA seperti kekurangan makanan dan pengangkutan atlet, mereka juga menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat kesukanan dalam misi tuan rumah untuk mengungguli pungutan pingat dan bergelar juara keseluruhan.

Semalam, akhbar berbahasa Inggeris, Bangkok Post dalam artikel bertajuk “An ugly tradition continues in Malaysia” berkata, emosi semakin tinggi dalam kalangan peminat dan wartawan Thailand yang meluahkan kemarahan mereka dengan melabelkan Sukan SEA Kuala Lumpur sebagai “SEA Kong” (SEA Tipu).

Ia juga berkata, ketua kontinjen Thailand dalam temasya dwitahunan itu, Thana Chaiprasit mendakwa penganjuran KL2017 paling teruk berbanding penganjuran Sukan SEA lain serta Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

Beliau juga mendakwa pegawai dari negara lain turut berkongsi pendapat sama.

Walaupun kritikan pedas dilemparkan Bangkok Post, sebuah lagi akhbar harian berbahasa Inggeris yang popular di negara itu, The Nation lebih bersifat introspektif dalam menilai prestasi Thailand pada temasya KL2017, memilih untuk menyalahkan prestasi atlet negara itu yang hambar berbanding Malaysia.

Dalam teguran terhadap pihak berkuasa sukan negara itu, The Nation dalam lidah pengarangnya baru-baru ini berkata, negara itu gagal terutama dalam acara sukan antarabangsa pada temasya dwitahunan berprestij itu.

“Pada temasya Kuala Lumpur 2017, Thailand gagal terutamanya dalam ‘sukan antarabangsa’. Pendek kata sekiranya acara sukan serantau (tradisional) dikeluarkan daripada carta pingat, negara masih ketinggalan di belakang Malaysia, Singapura dan Vietnam,” katanya.

Penyenaraian sukan tradisional dalam Sukan SEA, katanya, dijadikan alasan oleh negara itu jika ia kalah kepada Malaysia, tetapi ia tidak boleh bergantung kepada alasan dan hujahan itu lagi kali ini. – MalaysiaGazette