Home Nasional Polis wujudkan portal akaun bank terlibat penipuan dalam talian

Polis wujudkan portal akaun bank terlibat penipuan dalam talian

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) (Siber dan Siasatan Multimedia) SAC Ahmad Noordin Ismail.

KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh menyemak akaun bank yang terlibat dalam penipuan urus niaga dalam talian menerusi portal khas yang diwujudkan Polis Diraja Malaysia.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) (Siber dan Siasatan Multimedia) SAC Ahmad Noordin Ismail berkata portal yang dikendalikan JSJK itu masih dalam peringkat percubaan.

“Menerusi portal ini, orang ramai boleh memeriksa sama ada akaun bank itu pernah dilaporkan terbabit dalam penipuan dengan masukkan nombor akaun untuk semakan.

“Sekiranya ada penipuan menggunakan akaun terbabit, ia akan dipaparkan di ruang carian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya portal http://ccid.rmp.gov.my/semamule/ itu mula beroperasi beberapa hari lepas sebagai percubaan dan telah menerima 47,000 pelawat dengan 25,000 carian.

Portal itu dijangka dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat, katanya. – MalaysiaGazette