Home Nasional Aidiladha Rohingya meriah, korban 200 ekor lembu

Aidiladha Rohingya meriah, korban 200 ekor lembu

Ratusan etnik Rohingya ketika menunaikan solat sunat Aidiladha sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pasar Borong Selayang yang sibuk dan sesak dengan para peniaga dan orang ramai setiap hari bertukar situasi apabila kawasan itu menjadi tumpuan etnik Rohingya dan Bangladesh untuk menyambut Aidiladha.

Seawal 7.30 pagi, Jalan 2/3A, dekat sini dipenuhi dengan kira-kira lebih 2,000 orang etinik Islam Rohingya dan Bangladesh untuk menunaikan solat Sunat Aidiladha di Surau Baitul Nur.

Sebahagian daripada etnik Rohingya bergotong-royong mengorbankan lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2017

Selepas menunaikan solat, mereka bersama-sama bergotong-royong menyembelih lebih 200 ekor lembu yang diadakan hampir di setiap bangunan premis perniagaan di sini.

Menurut wakil masyarakat Rohingya, Mohamed Sayad Muhamad, 52, kali ini merupakan tahun kelima mereka menyambut Aidiladha secara beramai-ramai sebagai satu keluarga besar.

Sebahagian daripada etnik Rohingya bergotong-royong mengorbankan lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2017

“Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di ibu negara dan menghuni di pasar borong bersama keluarga. Masyarakat kami seramai lebih 30,000 orang.

“Setiap tahun beginilah suasana Aidiladha kami di sini. Kami sambut beramai-ramai seperti pesta.

“Kali ini lebih 200 ekor lembu dan beberapa ekor kambing dikorbankan untuk disedekahkan kepada golongan fakir miskin dan mengagihkan juga kepada masyarakat Rohingya yang kurang berkemampuan hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Gelagat dua kanak-kanak etnik Rohingya memperkemaskan serban sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 SEPTEMBER 2017

Beliau yang sangat bersyukur kerana dapat menyambut Aidiladha, berdoa agar masyarakat Rohingya di Myanmar sentiasa dilindungi Allah.

Suasana ibadah korban di sini hiruk-pikuk dengan kegirangan kanak-kanak yang melihat lembu-lembu dan kambing ketika disembelih.

Pengerusi penduduk Bangladesh, Md. Kamarulzzaman Nur Mohamed, 45, berkata, korban dilaksanakan secara besar-besaran sejak 15 tahu lalu.

“Kita sebagai ahli perniagaan yang ada di sini kebanyakannya membeli seekor lembu untuk dikorbankan pada hari ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette