Home Nasional Isu tular warga Singapura, KKM nafi minta wang pendahuluan

Isu tular warga Singapura, KKM nafi minta wang pendahuluan

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dakwaan ambulans sampai lewat dan meminta bayaran pendahuluan yang tular di media sosial melibatkan seorang warga Singapura yang maut akibat kemalangan di Johor Bahru baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata laporan ditulis portal akhbar atas talian “The Independent SG” (theindependent.sg) bertarikh 31 Ogos 2017 tidak benar dan menyifatkan ia satu tuduhan yang tidak berasas.

“Namun begitu, KKM ingin menjelaskan bahawa tiada kelewatan atau desakan bayaran pendahuluan oleh Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi pesakit ini,” katanya.

Semakan juga mendapati dakwaan ambulan sampai lambat 30 minit juga tidak benar, tegas Noor Hisham.

“Semakan rekod perkhidmatan ambulan HSA mendapati bahawa panggilan kecemasan telah dibuat pada 25 Ogos 2017, pukul 2:57 pagi.

“Ambulan telah dihantar daripada HSA pada pukul 2:59 pagi dan telah tiba di tempat kejadian pada pukul 3:15 pagi. Ambulan kemudiannya telah bertolak kembali ke HSA pada pukul 3:15 pagi.

“Syabas diucapkan kepada perkhidmatan ambulan yang telah berjaya memberikan perkhidmatan kecemasan yang pantas, iaitu dengan masa penghantaran (despatch time) selama dua (2) minit dan masa respon selama 13 minit,” katanya lagi.

Berhubung dakwaan bayaran pendahuluan, Noor Hisham berkata mangsa diberikan rawatan mengikut prosedur tanpa sebarang bayaran diminta pada waktu rawatan diberikan di HSA.

“Keadaan pesakit didapati kritikal dan setibanya di Jabatan Kecemasan HSA, beliau telah dikejarkan ke Zon Merah di mana rawatan kecemasan yang telah sebelum itu dimulakan oleh petugas ambulan adalah diteruskan mengikut protokol Advanced Trauma Life Support (ATLS).

“Pasukan Jabatan Kecemasan yang cekap telah melaksanakan tugasan dengan professional dan pantas, termasuk menjalankan ujian yang diperlukan (Imbasan X-ray, imbasan CT otak, tengkuk dan dada), rawatan (termasuk bantuan pernafasan) dan rujukan kepada pasukan pakar yang berkaitan.

“Memandangkan ini adalah kes kecemasan, rawatan dan ujian tersebut telah dijalankan tanpa memohon sebarang bayaran atau deposit terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, langkah itu diambil selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM bertarikh 4 Mac 2015 berkaitan Garis Panduan pengurusan kutipan hasil bagi pesakit warga asing yang tidak membayar deposit semasa mendapatkan rawatan di hospital Kerajaan.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial kisah mangsa langgar lari yang menimpa Justinian Tan.

Difahamkan, mangsa bersama lima rakannya datang ke Johor Bahru untuk makan.

Apabila berada di Jalan Dato Abdullah Tahir di Taman Abad, kira-kira 3 pagi, difahamkan Proton Saga merempuh mangsa dan seorang rakan mangsa.

Rakan mangsa, Brandon Yeo, 24, hanya mengalami kecederaan ringan.

Rakan mangsa, Ernest Lee dipetik sebagai berkata, pihak berkaitan melengah-lengahkan bantuan kecemasan terhadap mangsa.

Malah, mereka mendakwa ambulans hanya tiba di tempat kejadian setengah jam selepas kejadian. – MalaysiaGazette