Home Politik PH tolak Pas beri kelebihan kepada BN – Ku Nan

PH tolak Pas beri kelebihan kepada BN – Ku Nan

PUTRAJAYA, 1 Sept -- Anggota Parlimen Putrajaya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyempurnakan majlis ibadah korban sempena sambutan Hari Aidiladha dan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya hari ini. ?-- fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA ?
PUTRAJAYA – Keputusan Pakatan Harapan untuk tidak bekerjasama dengan PAS akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“PAS merupakan sebuah parti politik yang berstruktur dan mempunyai keanggotaan yang ramai. PAS tidak sama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan yang tiada struktur.

“Apabila PAS sudah sedar (tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan) syukur alhamdulilah, kita berharap bahawa mereka (PAS) akan bersama kita. Itu adalah harapan kita,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Aidiladha dan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya di sini hari ini.

Pada 29 Ogos lepas, Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan bahawa empat parti komponen dalam pakatan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

Sementara itu, mengenai laluan khas basikal di Kuala Lumpur, Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata penyelenggaraan secara berkala akan dibuat di laluan sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke Midvalley untuk memastikan ia sentiasa selamat untuk pengguna.

“Saya akan berbincang dengan pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk mencontohi idea laluan basikal yang dilaksanakan Perbadanan Putrajaya, di mana ia tidak menggunakan garisan sebaliknya laluan yang dicat merah,” katanya.

Selain itu, Tengku Adnan berkata laluan basikal di Kolam Biru, daya penarik baharu bandaraya Kuala Lumpur, dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.- BERNAMA