KUALA LUMPUR – Pemberian elaun perjalanan atau duit minyak kepada pengundi untuk pulang ke kampung mengundi adalah sejenis rasuah.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, dari segi undang-undang, pemberian sedemikain kepada pengundi sama ada dalam bentuk wang tunai atau hadiah adalah rasuah.
“Sebagai contoh, sekiranya pengundi tersebut ditawarkan elaun untuk balik mengundi atau dibayar RM50 supaya dia mengundi seseorang calon, itu sudah dikira sebagai rasuah,” katanya kepada Sin Chew Daily dalam satu temubual di sini.
Bagaimanapun menurut Azam, sekiranya terdapat ahli politik yang menawarkan bantuan ikhlas seperti beras atau derma kepada orang miskin, itu tidak dikira sebagai rasuah.
Tambahnya lagi, ikrar pilihanraya juga tidak dikira sebagai rasuah.
“Semasa berkempen, parti-parti politik biasanya akan membuat pelbagai jenis janji seperti mahu membina rumah dan sebagainya, itu tidak dikira sebagai rasuah,” jelas beliau lagi.
Jelas Azam, calon-calon di kebanyakan negara akan membuat pelbagai janji semasa berkempen bagi mendapatkan sokongan sama seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat semasa pemilihan Presiden yang lalu.
Dengan demam pilihan raya umum ke-14 yang semakin membahang, SPRM mengingatkan semua parti politik dan calon-calon untuk mengelakkan rasuah yang mana sekiranya ditangkap, mereka akan dikategorikan sebagai tidak layak.
Katanya, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRU nanti, sebuah pasukan penguatkuasa undang-undang yang terdiri daripada pegawai-pegawai SPRM dan polis akan ditubuhkan untuk memantau aktiviti rasuah semasa pilihan raya.
“Sekiranya pasukan tersebut menerima laporan daripada orang awam, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta Anti Rasuah dan Kanun Jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, SPRM juga tidak berhasrat untuk melakukan pindaan terhadap undang-undang yang mewajibkan semua calon mengisytiharkan aset masing-masing.
“Terserah kepada parti masing-masing sama ada mereka mahu calon-calon mereka mengisytiharkan aset atau tidak,” katanya lagi.
Tambahnya, jarang parti politik menghantar senarai nama calon mereka kepada SPRM dan polis bagi proses saringan. – MalaysiaGazette
bantuan kepada orang miskin bukan rasuah. janji masa kempen pun bukan rasuah. tapi duit minyak itu lah rasuah. . balik kampong klim duit minyak itu rasuah banyak diorang buat tapi tak tangkap pun