Home Nasional Kerajaan tak sekat kebebasan bersuara entik Rohingya

Kerajaan tak sekat kebebasan bersuara entik Rohingya

Senator dan Menteri Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan bercakap pada sidang media mengenai majlis dan pelancaran persidangan Democracy in Southern Asia:Achievements, Challenges and Prospects anjuran Suhakam dan Kofi Annan Foundation di Sheraton Imperial Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Tiada sekatan dikenakan ke atas bangsa Rohingnya di negara ini untuk berhimpun secara aman dan menyatakan bantahan terhadap kekejaman kerajaan Myanmar yang masih berterusan menindas etnik itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, mereka bebas menyatakan ketidakpuasan hati mereka selagi mana ia mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 di negara ini.
“Saya tidak fikir ada sekatan menyekat kebebasan mereka untuk luahkan perasaan mereka, asalkan secara aman dan mematuhi undang-undang di negara ini.
“Hakikatnya, kita mempunyai ramai pelarian dari negara itu dan apa yang berlaku hanyalah jelas untuk nyatakan pendirian mereka agar diterima (Kedutaan Myanmar),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Serantau Mengenai Demokrasi di Asia Tenggara di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan lebih 1,000 etnik Rohingya berhimpun di jalan raya di ibu negara pada Rabu lalu untuk menunjukkan solidariti terhadap etnik Muslim itu yang dianiaya dan menjadi mangsa kekejaman terbaru kerajaan Myanmar.
Sebahagian peserta perhimpunan itu adalah etnik Rohingya yang berada di negara ini bimbang terhadap keselamatan keluarga mereka yang dikhuatiri terbunuh di Myanmar.
Mengulas lanjut, Low Seng Kuan berkata, rakyat Malaysia digesa tidak salah faham terhadap tindakan itu malah membenarkan mereka bersuara terhadap kebimbangan keselamatan keluarga mereka di Myanmar.
“Ramai rakyat Malaysia terlibat dalam mengkritik kerajaan, namun ia dilakukan oleh mereka sendiri secara bebas.
“Saya percaya Malaysia boleh membenarkan kebebasan bersuara untuk mereka memerlukan yang ruang untuk menyatakan hak mereka (Rohingya),” katanya. – MalaysiaGazette.