Home Nasional Halangan bahasa mungkin penyebab – rakan Justinian

Halangan bahasa mungkin penyebab – rakan Justinian

KUALA LUMPUR – Insiden yang berlaku keatas mendiang Justinian Tan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mungkin disebabkan halangan bahasa, jelas rakannya, Joshua De Rozario.

Memetik laporan The Straits Times, De Rozario berkata, masalah pertuturan antara mereka dengan kakitangan HSA menyebabkan masalah komunikasi ketika insiden itu berlaku.

“Apabila kemalangan itu berlaku, banyak perkara berlaku serentak, jadi menunggu bantuan tiba terasa amat lama. Saya ingatkan ia mengambil masa 30 minit, tetapi catatan log mereka berbeza pula,” kata Joshua De Rozario, 25.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada Jumaat menafikan ambulans sampai lewat dan meminta bayaran pendahuluan ketika Justinian mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Malah laporan ditulis portal akhbar atas talian “The Independent SG” (theindependent.sg) bertarikh 31 Ogos 2017 tidak benar dan menyifatkan ia satu tuduhan yang tidak berasas.

De Rozario dipetik sebagai berkata, mungkin berlaku salah faham semasa di HSA kerana kakitangannya “bertutur dalam bahasa Melayu dan kami bercakap dalam bahasa Inggeris, dan kami mengalami kesukaran berkomunikasi”.

“Ramai daripada kami yang pergi ke JB (Johor Bahru) untuk makan malam atau membeli-belah, dan kita sebenarnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu berlaku di sana.

“Itulah yang kami mahu sampaikan. Ia bukan tentang membalas dendam kerana itu tidak akan mengembalikan Justinian. Kami mahu meneruskan kehidupan kami,” katanya dipetik laporan itu.

Justinian Tan meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta Proton Saga, ketika beliau dan lima rakannya yang baru selesai makan lewat malam, kira-kira 3 pagi di Johor Bahru, menuju ke kenderaan mereka.

Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Singapura dan meninggal dunia 5 hari kemudian, selepas alat bantuan pernafasan ditanggalkan. -MalaysiaGazette.