Home Akhbar Cina Perak negeri paling sengit

Perak negeri paling sengit

Perak kekal sebagai negeri yang dijangka mengalami pertarungan sengit dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

KUALA LUMPUR – Perak kekal sebagai negeri yang dijangka mengalami pertarungan sengit dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), menurut seorang penganalisis Oriental Daily, Pan Jun Sheng.

Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya 2013 berjaya memenangi Perak dengan hanya majoriti tiga kerusi apabila berdepan dengan pembangkang yang ‘mengganas’ dan merampas 28 kerusi berbanding 31 kerusi milik BN.

Dengan kesemua 59 kerusi dijangka mengalami pertarungan pada PRU-14, keadaannya bagaimanapun berbeza dengan 2008 kerana Pas sudah meninggalkan pakatan pembangkang.

Menurut Jun Sheng, keadaan politik semasa dan gelombang yang dihasilkan Pas mungkin menyebabkan beberapa kawasan milik DAP dan PKR pada masa ini dirampas oleh BN.

“Sumber memberitahu bahawa pelbagai faktor termasuk pemindahan pengundi, prestasi wakil rakyat sedia ada akan membolehkan MCA dan Gerakan merampas beberapa kerusi jika persempadanan semula diluluskan.

“MCA berpeluang merampas balik satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara Gerakan juga boleh memenangi dua kerusi DUN,” katanya.

Penganalisis itu berkata, kerusi Parlimen Lumut serta kerusi DUN Tebing Tinggi dan Teja berpeluang jadi milik MCA, sementara Gerakan berpeluang di DUN Jalong dan Kuala Sapetang.

Kataya lagi, kejayaan MCA dan Gerakan untuk memenangi semula empat DUN yang mereka kalah sebelum ini akan menghancurkan impian pembangkang untuk merampas pentadbiran di Perak.

Namun begitu, Pakatan Pembangkang juga telah membuat pencaturan untuk menembusi kawasan Melayu yang dimenangi UMNO dan usaha itu akan dilakukan melalui Parti Pribumi Bersatu, Amanah dan PKR.

“Kawasan yang disasarkan pembangkang termasuk satu kerusi Parlimen dan dua DUN di Tanjung Malim, serta dua DUN di Tapah.

“Empat DUN di Tanjung Malim dan Tapah dilihat sebagai kawasan penting yang akan membuka jalan untuk pembangkang merampas Perak,” kata Jun Sheng.

Katanya, kerjasama antara UMNO dan Pas dalam pembentukan strategi bersama di Perak akan memberi tamparan kepada impian Pakatan Harapan untuk merampas Perak. – MalaysiaGazette