Home Akhbar Cina Pilihan raya sudah “mendingin”

Pilihan raya sudah “mendingin”

PETALING JAYA – Demam pilihan raya yang kelihatan semakin memuncak pada pertengahan tahun ini mula menyurut.
Keadaan itu dilihat sebagai petanda bahawa pilihan raya tidak akan diadakan pada tahun ini. Ahli politik sebaliknya meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) besar kemungkinan mengambil tempat pada Mac atau April 2018.
Setiausaha Parti Liberal Demokratik Sabah, Datuk Yong Wui Chung berkata, pengalaman lalu menunjukkan pilihan raya biasanya diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
Kata pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, PRU-14 akan memberi laluan kepada Sambutan Pesta Menuai dan Gawai di Sabah dan Sarawak pada Mei dan Jun yang juga bertembung dengan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, akhir tahun 2017 juga bukan masa sesuai untuk pilihan raya selepas memngambil kira faktor angin monsun dan musim tengkujuh yang memberi tempias kepada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Demam pilihan raya memang dirasai pada pertengahan tahun lalu, tetapi ia sudah surut. Rasanya pilihan raya lebih berkemungkinan diadakan pada tahun depan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim cenderung untuk percaya bulan April dan Mei sebagai tempoh sesuai untuk mengadakan PRU-14.
Katanya, PRU-14 berkemungkinan mengambil tempat sebelum Ramadan pada pertengahan Mei.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan pula berkata, parti politik memerlukan masa tiga bulan untuk “memanaskan badan” sebelum pilihan raya umum.
“Masa keemasan untuk ‘panas badan’ ialah dari Ogos hingga Oktober atau tempoh selepas Tahun Baharu Cina,” katanya.   – MalaysiaGazette