
KUCHING – Walaupun berjaya membawa pulangan RM3.2 bilion pada tahun lalu, program Malaysia Rumah Keduaku bagaimanapun dikatakan tidak memberi manfaat kepada Sarawak.
Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, beliau akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri Sarawak supaya usaha diadakan untuk menarik perhatian peserta program itu kepada Bumi Kenyalang.
Beliau berkata, berdasarkan makluman bertulis daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz pada 20 Ogos lalu, sebanyak 33,490 permohonan program Malaysia Rumah Keduaku telah diluluskan sejak 2002.
Katanya lagi, permohonan diterima dari 126 negara dengan paling banyak dari China (8,785), diikuti Jepun (4,242) dan Bangladesh (3,564).
Negara dan wilayah lain termasuk England (2,416), Iran (1,337), Singapura (1,301), Taiwan (1,215), Korea Selatan (1,242), Pakistan (1,018), India (897) dan lain-lain (7,463).
Kata Kui Hian, program Malaysia Rumah Keduaku menjana pulangan lumayan buat negara melalui yuran visa, simpanan tetap dan pembelian hartanah.
Katanya, pulangan RM3.2 bilion yang dinyatakan tidak termasuk duit yag dibelanjakan peserta untuk perbelanjaan harian, pembelian kereta, kos perubatan dan pendidikan.
Menurutnya, peserta program bagaimanapun cenderung untuk menetap di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor sedangkan Sarawak bukan pilihan mereka.