KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memberi kata dua tetap akan merampas satu-satunya kerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi membalas dendam terhadap salah satu parti pembangkang itu.
PSM antara parti pembangkang yang tidak menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).
Kor Ming mendakwa PSM hanya memfokuskan terhadap kerusi yang dimenangi pembangkang dan tidak mempunyai pendirian tetap terhadap perjuangan politik mereka.
“Sekiranya PSM seperti kenyataan mereka menganggap UMNO-BN sebagai musuh utama, mereka harus bertanding di kawasan yang telah dimenangi oleh UMNO.
“Tetapi terbukti parti sosialis sayap kiri ini hanya fokus dalam kerusi yang sudah dimenangi oleh pembangkang, terutamanya DAP.
“Oleh itu ia amat jelas di mana pendirian mereka yang sebenar,” beliau dipetik berkata.
Beliau juga membidas PSM dengan mengatakan mana-mana parti pembangkang yang tidak menyokong PH sebenarnya bersama Barisan Nasional (BN).
“Mana-mana blok ketiga atau parti lain yang enggan bekerjasama dengan Harapan adalah bersama BN dan tujuan mereka hanya untuk menyelamatkan Najib,” katanya.
Kerusi itu kini disandang oleh Michael Jeyakumar Devaraj selama dua penggal. Bagaimanapun beliau menggunakan lambang PKR.
Kerusi itu sebelum itu menjadi kubu kuat bekas presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu. – MalaysiaGazette