Home Dunia Hisap rokok di tempat larangan, lelaki Indonesia melecur

Hisap rokok di tempat larangan, lelaki Indonesia melecur

Pekerja Indonesia itu melecur dalam kebakaran pada Ahad di sebuah tapak pembinaan di Jalan Lubok Graji, Ulu Pakan, 55 kilometer dari sini.

BINTANGOR – Gara-gara menghisap rokok di stor bahan mudah terbakar, seorang pekerja melecur dalam kebakaran pada Ahad di sebuah tapak pembinaan di Jalan Lubok Graji, Ulu Pakan, 55 kilometer dari sini.

Selain menyebabkan badan lelaki berusia 21 tahun itu melecur 50 peratus, kebakaran itu turut menyebabkan sebuah bengkel lori rosak 40 peratus dan tiga unit rumah pekerja musnah 100 peratus.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, mangsa telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nanga Wak oleh rakan-rakan sekerja untuk mendapatkan rawatan.

“Maklumat awal melalui saksi di lokasi memaklumkan ada aktiviti pekerja merokok di kawasan stor penyimpanan minyak.

“Tong penyimpanan cecair pelarut (thinner) bocor tanpa disedari dan api dari puntung rokok telah menyambar cecair itu lalu menyebabkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran tersebut pada 10.09 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor digerakkan dan tiba di lokasi 11.32 pagi.

Operasi memadam kebakaran tamat pada 1 petang. – Bernama