Home Nasional Aktiviti mesin judi berleluasa di Selangor – Jamal

Aktiviti mesin judi berleluasa di Selangor – Jamal

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos memecahkan sebuah meja sebagai simbolik banteras premis mesin judi sambil diperhatikan oleh ahli-ahli NGO Malaysia yang lain pada sidang media berkenaan Isu Mesin Judi di Selangor di Pejabat Gerakan Gabungan NGO Malaysia, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2017

AMPANG – Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi menyatakan kebimbangan pihaknya berkenaan gejala mesin judi yang semakin berleluasa di Selangor, khususnya di Ampang.

Ia berikutan peningkatan mendadak kegiatan itu sehingga terdapat sebanyak 7,200 premis mesin judi di bawah lesen pusat hiburan keluarga.

“Kami menyatakan sekali lagi kebimbangan kami tentang kegiatan mesin judi yang tidak terkawal. Kewujudan mesin dan kedai judi ini sebenarnya diberi kebenaran oleh kerajaan negeri di bawah lesen pusat hiburan keluarga,” katanya.

Tambah Jamal, kegiatan kedai judi ini juga akibat daripada ahli-ahli majlis perbandaran atau dewan bandaraya di Selangor yang mahu mengaut kekayaan daripada kegiatan tersebut.

“Kenapa anak-anak Melayu hendak dijadikan kambing hitam dengan menjadikan pusat-pusat judi sebagai hasil majlis-majlis perbandaran? Di Ampang contohnya, di Ampang saja ada 7,200 kedai judi yang dilesenkan oleh majlis daerah.”

“Namun, hasil dari tinjauan kami, sehingga malam tadi kami dapati sebanyak 6,800 kedai judi di Ampang. Ia berkurangan sedikit setelah pertukaran ketua polis negara,” dakwa Jamal.

Justeru, Jamal mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor yang berkuasa untuk memberi kebenaran atau membatalkan lesen judi di bawah lesen pusat hiburan keluarga tersebut supaya menghentikan kegiatan yang disifatkan tidak bermoral itu.

“Sampai bila Azmin Ali mahu menjadikan rakyat Selangor sebagai mangsa tahi mesin judi. Kami merayu kepada menteri besar agar lesen judi ini ditarik semula terutama di bawah lesen pusat hiburan keluarga.

“Berhenti jadikan kedai mesin judi ini sebagai tempat mengaut pendapatan. Ahli majlis contohnya, mengutip sebanyak RM5,000 daripada setiap kedai judi di sekitar Ampang ini. Mereka kumpul kekayaan daripada hasil judi ini.”

Seterusnya, kenyataan Azmin Ali sebelum ini yang berbangga dengan pendapatan kerajaan negeri Selangor yang tinggi turut dipersoalkan kerana masih bergantung kepada kedai-kedai judi sebagai pendapatan, katanya.

Dakwa beliau, Mohamed Azmin merupakan contoh menteri besar yang ‘cakap tak serupa bikin’ dan ‘bapa kepada segala maksiat di Selangor’ dengan membiarkan gejala judi terus berleluasa. – MalaysiaGazette