Home Nasional Awang Adek tumpu usaha pulihkan integriti Mara

Awang Adek tumpu usaha pulihkan integriti Mara

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Awang Adek Hussin (tiga kanan) menerima sijil terima tugas sebagai pengerusi Mara daripada Pengerusi Semantara Mara merangkap Ahli Majlis MARA, Datuk Yusof Yacob (empat kiri) di Bangunan Ibu Pejabat Mara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu, Datuk Dr Awang Adek Hussin mahu menumpukan usaha-usaha untuk memulihkan integriti agensi tersebut khususnya dalam pentadbiran dan pengurusannya.

Awang Adek berkata, isu-isu integriti dan urus tadbir penting bagi mengelakkan sebarang persepsi buruk terpalit kepada agensi tersebut dan berharap dapat meningkatkan imej lebih telus agensi itu.

“Hasil mesyuarat pertama saya tadi, saya menekankan dan fokus akan diberikan kepada gerak kerja dan tadbir urus Mara supaya dapat mengelakkan timbulnya persepsi buruk terhadap Mara pada masa hadapan,” katanya.

Awang Adek berkata demikian kepada media selepas mengadakan mesyuarat pertama beliau dengan kepimpinan tertinggi Mara, di ibu pejabat Mara hari ini.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, usaha-usaha transformasi dalam Mara juga akan diambil bagi memberikan mutu perkhidmatan yang lebih baik kepada pihak yang berkepentingan.

“Kita akan menumpukan way forward kepada Mara dengan menyediakan pelan transformasi dan berusahan untuk menstruktur semula Mara demi memberi perkhidmatan lebih baik kepada stakeholder dan menjadikan Mara lebih bersedia untuk menghadapi cabaran semasa dan masa depan, menjadikan Mara lebih efisien dan fokus terhadap bidang utamanya,” katanya.

Menurut Awang Adek, usaha-usaha untuk memperkenalkan produk Mara ke peringkat antarabangsa juga perlu dilakukan memandangkan banyak program Mara yang mendapat pengiiktirafan baik.

Tambahnya, soal integriti turut menjadi imej kepada dirinya memandangkan beliau banyak terlibat dalam bidang yang berkaitan pengurusan kewangan negara.

“Soal integriti ini penting bagi saya. Saya sebagai pegawai kanan kewangan negara, bekas timbalan menteri kewangan yang terlibat dengan banyak dengan hal ehwal kewangan, sudah tentu akan memastikan tadbir urus kewangan Mara dikendalikan dengan baik supaya tidak boleh menimbulkan persepsi,” jelasnya.

Pada 15 Ogos lalu, Awang Adek yang juga bekas Menteri Kewangan dilantik menjadi Pengerusi Mara menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tidak disambung kontraknya.

Awang Adek, 62, berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan dari 2006 hingga 2013.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dari 2014 hingga 2016. – MalaysiaGazette