Home Politik Guan Eng jangan jadi Mr Arrogant – Nasruddin

Guan Eng jangan jadi Mr Arrogant – Nasruddin

Nasruddin Hassan Tantawi
Nasruddin Hassan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan menasihati Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya jangan bersikap takbur dengan kata-kata yang mengaitkan parti itu.

Jelasnya, sikap takbur DAP yang merendah-rendahkan martabat Pas selama ini mungkin memakan diri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya bimbang Pulau Pinang yang akan terlepas dari DAP.

“Itu gaya bahasa Mr Arrogant (merujuk kepada kata-kata Guan Eng) yang bercakap,” katanya kepada media merujuk kepada kenyataan Guan Eng semalam.

Ahli Parlimen Temerloh itu ditemui MalaysiaGazette pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam berkata, Pas berdepan risiko kehilangan Kelantan pada PRU-14 berikutan keengganan parti itu kembali menyertai pakatan pembangkang.

Malah Guan Eng turut berkata, Pas tidak boleh membentuk sebuah kerajaan baharu kerana parti itu tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi kerajaan.

Bagi beliau, Pas kini dilihat lebih cenderung untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN). -MalaysiaGazette