Home Dunia Korea Selatan adakan latihan ketenteraan besar-besaran

Korea Selatan adakan latihan ketenteraan besar-besaran

Jet pejuang F-15

SEOUL – Tentera Laut Korea Selatan hari ini mengadakan latihan ketenteraan secara besar-besaran susulan ujian nuklear keenam dilancarkan Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut laporan media tempatan, latihan ketenteraan itu diadakan di kawasan perairan timur menggunakan kapal perang seberat 2,500 tan, kapal peronda (1,100 tan), kapal perang (400 tan) yang dilengkapi peluru berpandu dan bot berkelajuan tinggi (130 tan).

Latihan itu diadakan dua hari selepas Korea Utara mendakwa berjaya melancarkan ujian bom hidrogen yang dimuatkan dalam peluru berpandu balistik antara benua.

Semalam, tentera udara dan laut Korea Selatan melakukan latihan ketenteraan di Laut Timur.

Sementara itu, armada tentera laut ketiga merancang mengadakan latihan maritim berasingan di perairan selatan selama empat hari bermula esok.

Latihan membabitkan 10 kapal perang termasuk dua kapal frigat seberat 2,500 tan, kapal selam dan pesawat pemantau marin P-3, helikopter pelbagai fungsi Lynx.

Turut digunakan dalam latihan itu jet pejuang F-15K dan pesawat pengangkut CN-235. – MalaysiaGazette