Home Politik PRU-14: Bukan salah Pas jika berlaku pertembungan 3 penjuru

PRU-14: Bukan salah Pas jika berlaku pertembungan 3 penjuru

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi (tengah) bergambar bersama barisan jawatankuasa FASTAQIM 2.0 sambil menunjukkan poster SAYA HADIR pada sidang media berkenaan FASTAQIM 2.0 di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pas tidak boleh disalahkan sekiranya berlakunya pertembungan tiga penjuru antara Pas, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata, Pas bertegas untuk meletakan calon di semua kerusi yang pernah ditandinginya dan tidak menolak pertembungan tiga penjuru berlaku di kawasan itu.

“Asasnya semua orang boleh bersetuju satu lawan satu tapi realiti politik mutakhir PRU14 ini hampir sukar nak elak tiga penjuru, contohnya di Parlimen​ Temerloh ada satu DUN Semantan dimenangi Pas.

“Pas bertanding sejak dulu dan saingan BN. Apabila Pas menang calon ini telah keluar masuk PAN, sudah pastinya ia kawasan kita dan DUN dimiliki Pas dan kita akan kekal bertanding berdepan dengan BN satu lawan satu, malangnya PAN pun nak bertanding di Semantan dengan menganggap ia calon PAN,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.

Malah disebabkan tidak ada tahaluf siyasi dengan PKR, Pas mungkin meletakkan calon di Permatang Pauh.

Untuk rekod, kerusi Permatang Pauh sudah ditanding oleh PKR sejak tertubuhnya parti itu pada 2003.

“Dari situ kita nampak wujud tiga penjuru bukan dari Pas. Tradisi kita bertanding berhadapan dengan BN.

“Apabila ada parti lain isytihar nak tanding kerusi Pas, kita ambil kira tak ada hubungan dengan PH kita nak bertanding semula di kerusi-kerusi kita, termasuk Permatang Pauh sebab itu kerusi kita, kita tak ada kerjasama,” katanya.

Mei lalu, Pas memuktamadkan untuk memutuskan hubungan dengan PKR apabila bertindak menyertai PH bagi menghadapi PRU-14 akan datang.

Sementara itu, Pas akan menganjurkan Himpunan Fastaqim 2.0 pada 29 hingga 30 September depan.

Bertemakan ‘Kebangkitan Gelombang Hijau’, ia didakwa sebagai persediaan parti itu untuk menghadapi PRU-14 kelak.

“Gerakkan Gelombang Hijau untuk  PRU14 dengan angkatan​ tema hijau menuju kemenangan dan kita bergerak seiring dengan blok ketiga yang kita gabungkan diatas Gagasan Sejahtera,” katanya.

Himpunan itu akan disertai badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu dengan menyasarkan 200,000 peserta.

Ia bakal diadakan di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu dengan membariskan kehadiran semua pimpinan Pas. – MalaysiaGazette