KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pas menjadi punca masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia berpecah, malah mereka tidak pernah membawa sebarang perubahan kepada negara.
Mahathir berkata, tindak-tanduk Pas sebagai sebuah parti politik sebenarnya bertentangan dengan ajaran agama Islam kerana berjaya memecahkan orang Melayu menjadi dua entiti.
“Sebagai parti politik yang bersandarkan Islam, Pas dilihat kini bertentangan dengan ajaran Islam apabila mereka berjaya memecahkan orang Melayu Islam kepada dua entiti.
“Sepatutnya, kita semua (sebagai Islam) adalah sama, mengamalkan ajaran yang sama, mazhab Syafie. Kenapa kena ada dua entiti atas nama Islam yang berbeza?
“Sebelum Pas, tiada pun perpecahan,” kata Dr Mahathir semasa satu Bual Bicara diadakan The Malaysian Insight hari ini.
Menurut Dr Mahathir, agama Islam mengajar umat supaya berbuat baik dan bersatu padu, tapi ia berubah apabila ada segelintir pemimpin Islam yang tidak mengikut ajaran sebenar sehingga menyebabkan berbalah sesama sendiri.
“Berdasarkan sejarah, orang lebih mudah mengikut pemimpin Islam daripada memahami ajaran Islam yang sebenar-benarnya.
“Ajaran Islam mengajar umatnya berbuat baik dan menyatukan umatnya namun atas sebab peribadi pemimpin, ia berubah menjadi sebaliknya hingga bebalah sesama agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette