Home Politik Guan Eng elak jawab isu tindakan undang-undang SPRM

Guan Eng elak jawab isu tindakan undang-undang SPRM

Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan disebut semula pada 30 Julai depan.
Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan disebut semula pada 30 Julai depan.

PULAU PINANG – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini terus mengelak daripada mengulas mengenai tindakan undang-undang yang akan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beliau.

“Buat masa ini saya tidak akan beri apa-apa komen,” katanya ringkas kepada pemberita ketika diajukan soalan mengenai tindakan yang bakal diambil SPRM tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP ditemui pemberita ketika meninjau projek pembentungan di Relau di sini hari ini.

Semalam, SPRM dalam kenyataan menegaskan akan mengambil tindakan ke atas Guan Eng kerana enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan fitnah dengan menyifatkan penahanan Exco kerajaan negeri Phee Boon Poh sebelum ini sebagai ‘penahanan haram’.

Tindakan itu ekoran Guan Eng enggan memohon maaf ekoran kenyataan tersebut selepas SPRM pada 25 Ogos lalu memberi tempoh 48 jam kepada beliau untuk berbuat demikian.

Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung operasi kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Bagaimanapun, tahanan reman Boon Poh itu serta dua individu pemilik kilang berkenaan dibatalkan Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Ogos selepas mendapati bertentangan dengan Seksyen 117 (5) Kanun Prosedur Jenayah.- MalaysiaGazette