MELAKA – Malaysia terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 1-1 dengan Hong Kong pada perlawanan kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, di sini, malam ini.
Babak pertama perlawanan seimbang apabila kedua-dua pasukan melakukan cubaan bertali arus namun penyudah yang tumpul gagal mencetak sebarang gol buat kedua-dua pasukan.
Kapten pasukan negara, Safiq Rahim gagal memanfaatkan peluang keemasan apabila sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-22 tersasar ke kiri gawang Hong Kong yang dikawal kemas kaptennya Yapp Hung Fai.
Usaha skuad Harimau Malaya untuk memecah kebuntuan terus gagal apabila sepakan deras yang dilakukan oleh Darren Lok selepas memperdaya benteng pasukan Hong Kong pada minit ke-35 berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang skuad pelawat.
Kelekaan pada barisan pertahanan negara membuka ruang buat penyerang naturalisasi Hong Kong kelahiran Nigeria, Alexander Oluwatayo melakukan cubaan pada minit ke-42 namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol negara, Muhammad Hafizul Hakim.-BERNAMA