PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM20 juta kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) selaras dengan penubuhannya hari ini.
Beliau berkata, peruntukan awal itu untuk menggerakan CENDANA dalam usaha pembangunan sektor seni dan budaya dalam industri kreatif serta mempromosikannya secara komersial.
“Saya ingin mengisytiharkan ekonomi seni budaya adalah merupakan aset baharu bagi negara kita.
“Dengan itu, kita perlu mewujudkan satu badan yang boleh menggerakkan pembangunan seni budaya negara sebagai satu komponen penting dari sudut lebih besar,” katanya berucap merasmikan CENDANA, di Bangunan Perdana Putra di sini petang tadi.
CENDANA ditubuhkan oleh kerajaan menerusi MyCreative Ventures, satu usaha yang diumumkan dalam Bajet 2017 Malaysia.
Perdana Menteri berkata, sektor seni dan budaya merupakan komponen terakhir dalam usaha transformasi negara maju selaras dengan Transformasi Nasional 2050 (TB50).
“Jadi saya menganggap komponen seni budaya ini sebagai komponen terakhir dalam perjalanan transformasi negara.
“Kalau kita berjaya dalam bidang ini, maka lengkaplah apa yang kita katakan sebagai perjalanan kita untuk mencapai status negara maju yang sebenarnya,” jelasnya.
Beliau turut berkata, bagi tujuan itu, badan itu mestilah diterajui oleh penggiat seni sendiri dan bukan lagi orang politik dan birokrat.
“Saya yakin dan percaya CENDANA ini lahir daripada lubuk hati orang-orang seni sendiri. Bukan dari atas ke bawah tapi dari bawah ke atas, dari akar umbi.
“Saya juga menerima hasrat bahawa badan ini mestilah berlainan daripada badan-badan lain, ia harus dipimpin oleh orang seni sendiri dengan sokongan dan dokongan daripada kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.