Home Dunia Aeroflot tidak boleh tentukan saiz baju anak kapal

Aeroflot tidak boleh tentukan saiz baju anak kapal

MOSCOW – Mahkamah Rusia telah memutuskan bahawa syarikat penerbangan Aeroflot tidak boleh memberitahu kakitangannya apa saiz baju yang perlu dipakai.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berpihak kepada dua orang anak kapal Aeroflot yang menyaman syarikat berkenaan kerana melakukan diskriminasi – dengan mengatakan mereka telah ditukarkan ke laluan kurang menguntungkan kerana saiz badan.

Aeroflot memberitahu anak-anak kapalnya mereka tidak boleh memakai pakaian seragam yang lebih besar daripada saiz 48 (UK 16/EUR 42/US 14).

Tetapi mahkamah tidak memutuskan dasar Aeroflot itu adalah satu bentuk diskriminasi.

Malah, mahkamah memerintahkan anak-anak kapal itu dibayar sejumlah kecil pampasan disebabkan kerugian gaji dan penderitaan lain.

Aeroflot berkata, ia akan mengkaji ketetapan itu sebelum memutuskan jika ia perlu mengubah garis panduannya.

Seorang jurucakap syarikat itu memberitahu agensi berita Tass Rusia, ia berpuas hati bahawa mahkamah tidak menemui tindakannya yang diskriminasi.

Selepas keputusan itu, salah seorang anak kapal, Irina Ierusalimskaya yang menyaman Aeroflot dalam kes itu berkata, saiz pakaiannya tidak ada kaitan dengan prestasinya.

“Saya yakin bahawa saiz pakaian tidak boleh dikaitkan dengan kualiti profesional yang tidak masuk akal. Ini kerana, pertama sekali, seseorang harus profesional dalam apa yang anda lakukan,” katanya.

Semasa perbicaraan awal, Aeroflot berkata, ia menganggap anak kapal yang bersaiz besar tidak sesuai dengan keadaan kecemasan, apabila tindakan pantas diperlukan.

Ia juga berpendapat bahawa setiap berat kilogram tambahan memaksa ia membelanjakan lebih banyak bahan bakar.

Selain itu, borang permohonan untuk jawatan anak kapal pembantu penerbangan akan memerlukan maklumat ketinggian, berat dan saiz pakaian. – MalaysiaGazette