Home Utama Anwar beri keterangan kerugian BNM petang ini

Anwar beri keterangan kerugian BNM petang ini

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada petang ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan itu dipanggil menjadi saksi hari ini bagi menyempurnakan siasatan mengenai kerugian BNM.

Menurut RCI semalam, Anwar akan menjadi saksi pertama hari ini yang juga saksi ke 17.

Kerugian urus niaga mata wang asing BNM berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara Anwar merupakan menteri kewangan ketika itu.

Antara saksi lain yang akan dipanggil adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil dan Datuk Othman Jusoh.

Prosiding RCI memasuki hari ke enam ini dengan enam belas saksi sudah dipanggil memberikan kenyataan.

Mereka adalah bekas peguam negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid; bekas pembantu khas kepada gabenor BNM, Liew Siew Kuan; bekas auditor di pejabat Ketua Audit Negara, P Kanason Pothinker; bekas penolong gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Manaf; bekas penolong Gabenor, Datuk Abdul Murad Khalid; dan bekas Timbalan Gabenor BNM Tan Sri Lin See-Yan.

Dalam prosiding semalam, RCI yang dipengerusikan Pengerusi PETRONS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan turut memanggil bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. -MalaysiaGazette.