Home Nasional KJ ketuai demo bantah genosid Rohingya esok

KJ ketuai demo bantah genosid Rohingya esok

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bergambar bersama pelarian sambil diiringi Timbalan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos pada sidang media tergempar mengenai isu pembunuhan etnik Rohingya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO bersama parti-parti komponen Barisan Nasional serta beberapa NGO hari ini  bertegas mahu membuat desakan terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Rohingya.

Menurut ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, desakan dan kecaman berkenaan ekoran krisis kemanusiaan yang berlarutan melanda ratusan ribu manusia daripada etnik Rohingya di Myanmar.

“Kami sebulat suara terus mengecam tindakan genosid dan tidak berperikemanusiaan oleh pihak dan institusi berkuasa ke atas etnik Rohingya di wilayah Rakhine yang bertambah buruk sejak dua minggu lalu,” ujarnya.

Melalui sidang media tergempar itu,  Khairy turut menyatakan sokongan terhadap gesaan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang mahu penyelesaian daripada PBB berkenaan isu tersebut.

“Kami menyokong gesaan perdana menteri agar Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan konflik berdarah ini secara keseluruhan.

“Oleh itu, kami sekali lagi menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang perlu dirancang dan dilaksanakan serta-merta, bermula dengan sidang media tergempar PBB,” kata Khairy.

Pemuda UMNO, katanya, bersama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional lain, serta beberapa NGO lain hari ini membuat sesi mesyuarat tergempar berkenaan isu Rohingya sebagai respon kepada insiden pada 25 Ogos lepas di mana lebih 400 rumah dibakar serta ratusan orang Rohingya yang dibunuh dan dibakar.

Sehubungan itu, satu demonstrasi sebagai bantahan terhadap isu itu akan dilakukan esok di hadapan Wisma PBB dan pejabat Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette