WASHINGTON – Amerika Syarikat mencadangkan pelbagai sekatan baru terhadap Korea Utara, termasuk larangan minyak dan pembekuan aset Kim Jong-un.
Ia telah merangka resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tindak balas terhadap ujian nuklear terbaharu Pyongyang, yang akan dipertimbangkan oleh ahli-ahli Majlis Keselamatan PBB.
Draf itu menggesa larangan membekalkan pelbagai produk minyak ke Korea Utara dan membeli eksport tekstilnya.
Aset dan kebenaran perjalanan pemimpin negara itu juga dicadangkan dibekukan.
Langkah terbaharu itu bertujuan mengukuhkan langkah-langkah terhadap Korea Utara ekoran tindakan Pyongyang melancarkan ujian nuklear Ahad lalu.
Korea Utara mendakwa telah menghasilkan bom hidrogen berkuasa yang cukup kecil untuk disesuaikan dengan peluru berpandu jarak jauh dan pada bulan lalu ia melancarkan peluru berpandu melintasi Jepun.
Tidak diketahui sama ada tuntutan terbaru dari Amerika Syarikat itu akan mendapat sokongan Rusia atau China kerana kedua-duanya menyatakan keraguan atas peningkatan sekatan.
Kedua-dua negara adalah pembekal minyak ke Korea Utara dan kedua-duanya menggunakan veto di Majlis Keselamatan PBB.
Kiriman wang daripada pendapatan asing dan eksport tekstil dipercayai dua sumber pendapatan tersisa yang paling penting di Korea Utara. – MalaysiaGazette