KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak menjatuhkan hukuman penjara 48 tahun serta 24 sebatan kepada seorang bapa yang melakukan 623 pertuduhan jenayah seksual terhadap anaknya sendiri adalah sesuatu yang tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan menganggap keputusan mahkamah terbabit adalah satu langkah yang sepatutnya dan perlu menjadi iktibar kepada golongan ibubapa.
“Keputusan Mahkamah ini diharap memberi pengajaran kepada mereka di luar sana yang mana tiada siapa yang mengatasi undang-undang.
“Orang ramai begitu terkesan dengan kes ini memandangkan perbuatan terkutuk itu dilakukan tanpa mengira masa dan tempat.
“Tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa, sebaliknya tertuduh telah mengkhianati perhubungan amanah antara bapa dan anak sehingga meninggalkan kesan kecederaan fizikal dan trauma yang mendalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Azalina, kes terbabit mencatat sejarah sebagai kes jenayah seksual paling banyak melibatkan seorang individu di negara ini.
Terdahulu, Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 48 tahun dan 24 sebatan terhadap tertuduh seorang ejen unit amanah
Hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 26 Julai lalu.
Tertuduh mengaku bersalah atas 623 kesalahan jenayah seksual terhadap anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun.
Sejak ditubuhkan pada 22 Jun 2017 sehingga 31 Ogos 2017 sebanyak 293 kes telah didaftarkan yang mana 236 adalah kes baru dan 57 kes yang dibawa dari Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Menurut Azalina, sebanyak 36 kes telah selesai, manakala bakinya masih dalam sebutan dan perbicaraan.
Pada masa yang sama, kerajaan juga bercadang untuk memperluaskan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ke seluruh negara secara berperingkat dalam usaha kerajaan memberi perlindungan terbaik kepada kanak-kanak. – MalaysiaGazette