
PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan menetapkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan cukai berjumlah RM6 juta bagi setiap pegawai auditnya, seperti mesej yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Lembaga itu berkata, sasaran kutipan tahunannya ditetapkan oleh kerajaan dan dimaklumkan kepada umum semasa pembentangan bajet tahunan negara oleh Menteri Kewangan.
Justeru, katanya, inisiatif dan strategi LHDN bagi mencapai sasaran tersebut telah dirancang seawal November 2016 dan dilaksanakan mulai Januari 2017.
“Adalah dimaklumkan juga bahawa inisiatif, strategi, sasaran dan pencapaian ini dipantau oleh Kementerian Kewangan dan Anggota LHDN, di mana Anggota LHDN terdiri daripada wakil sektor awam dan swasta,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, trend pencapaian kutipan semasa menunjukkan peningkatan positif berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Selain itu, katanya, perkembangan ekonomi negara sebanyak 5.8 peratus dalam suku kedua tahun ini, seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara pada 18 Ogos lepas, menunjukkan ekonomi Malaysia mampu melepasi unjuran yang ditetapkan pada sekitar 4.3 hingga 4.8 peratus.
Justeru, LHDN berkata, perkembangan ekonomi positif yang dipacu oleh strategi penguatkuasaan dan pendidikan cukai LHDN pada tahun ini, lembaga itu akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemungut hasil utama negara berdasarkan perundangan percukaian yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, LHDN juga mengingatkan pembayar cukai untuk menyimpan semua rekod berkaitan pendapatan dan perbelanjaan selama tujuh tahun, seperti yang termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi memudahkan semakan sekiranya diaudit oleh LHDN.
Orang awam juga dinasihatkan untuk menghubungi LHDN sekiranya menghadapi sebarang kemusykilan semasa proses audit dijalankan menyertakan maklumat lengkap berkenaan nama pegawai, waktu audit dan isu yang berlaku perlu bagi memudahkan tindakan pihaknya. – MalaysiaGazette