Home Nasional Najib sembah takziah kemangkatan Sultan Kedah

Najib sembah takziah kemangkatan Sultan Kedah

KENANGAN. Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah berbisik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Masjid Negara di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2015 semasa almarhum menjadi Yang Dipertuan Agong.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan sembah takziah keatas kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Syah.

Najib antara pemimpin yang pertama menyampaikan ucapan berkenaan setelah berita mengenai kemangkatan Tuanku Abdul Halim hari ini.

“Saya berasa sedih dan dukacita menerima berita kemangkatan Tuanku Sultan Kedah sebentar tadi. Almarhum Tuanku dan saya mempunyai hubungan yang akrab sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi selama ini,” katanya dalam Facebook rasmi beliau.

Bekas Yang Dipertuan Agong itu mangkat kira-kira jam 2.30 petang tadi pada usia 89 tahun di kediaman rasminya, Istana Anak Bukit.

Perkara itu dizahirkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan ringkas mengesahkan kemangkatan baginda dan upacara istiadat pemakaman akan diumumkan oleh Kerajaan Negeri Kedah kelak.

Najib dalam pada itu berkata, Almarhum Tuanku adalah seorang sultan yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi dua penggal.

“Almarhum Tuanku juga seorang yang peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat. Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah.

“Semoga roh almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” ucap Najib.

Najib dipercayai berada di Amerika Syarikat dalam lawatan ke Rumah Putih untuk bertemu Presiden AS, Donald Trump.

Perjumpaan kali pertama itu dilaporan berlaku esok. -MalaysiaGazette.